- Diasaskan
- 1998
- Pengasas
- Larry Page dan Sergey Brin
- Pemerbadanan
- 4 September 1998
- Tawaran awam permulaan (NASDAQ)
- 19 Ogos 2004
Kisah Google bermula pada tahun 1995 di Universiti Stanford. Larry Page sedang mempertimbangkan Stanford untuk mengambil kursus sarjananya dan Sergey Brin, seorang pelajar di sana, telah ditugaskan untuk menunjukkan kawasan sekitar kepadanya.
Dikatakan bahawa mereka berbeza pendapat dalam hampir segala topik semasa pertemuan yang pertama itu, tetapi menjelang tahun yang berikutnya, mereka telah menjalin kerjasama. Mereke bekerja dari bilik asrama mereka untuk membina enjin carian yang menggunakan pautan untuk menentukan kepentingan halaman individu di Jaringan Sejagat. Mereka menamakan enjin carian ini Backrub.
Tidak lama selepas itu, Backrub telah dinamakan semula sebagai Google (nasib baik). Nama ini merupakan permainan kata-kata untuk ungkapan matematik bagi nombor 1 diikuti oleh 100 sifar dan amat sesuai untuk mencerminkan misi Larry dan Sergey yang “mahu mengatur maklumat dunia dan menjadikannya boleh diakses secara universal dan berguna”.
Sepanjang beberapa tahun kemudian, Google bukan sahaja menarik perhatian komuniti akademik malah turut menarik perhatian pelabur Silicon Valley. Pada Ogos 1998, pengasas bersama Sun, Andy Bechtolsheim, telah memberi Larry dan Sergey cek bernilai $100,000, maka tertubuhlah Google Inc. secara rasminya. Dengan pelaburan ini, pasukan yang baru diperbadankan itu membuat peningkatan dari asrama ke pejabat pertama mereka: sebuah garaj di pinggir bandar Menlo Park, California, yang dimiliki oleh Susan Wojcicki (kakitangan #16 dan bekas CEO YouTube). Komputer meja yang besar, meja ping pong dan permaidani biru terang melengkapkan pemandangan untuk hari-hari yang bermula awal dan tamat lewat malam pada masa itu. (Tradisi mengekalkan pemandangan berwarna-warni masih diteruskan sehingga hari ini.)
Dari mula lagi, keadaan sememangnya di luar kelaziman: daripada pelayan awal Google (yang diperbuat daripada Lego) sehinggalah “Doodle pertama” pada tahun 1998: patung kayu dalam logo yang mengumumkan kepada pelawat tapak bahawa semua kakitangan ponteng kerja kerana menghadiri Festival Burning Man. “Jangan nakal” melengkapkan semangat kaedah kami yang sengaja tidak mengikut kelaziman. Dalam beberapa tahun yang berikutnya, syarikat ini berkembang dengan amat pantas — menggaji jurutera, membina pasukan jualan dan memperkenalkan anjing pertama syarikat, Yoshka. Ruang garaj semakin sempit untuk Google dan akhirnya mereka berpindah ke ibu pejabat semasa (juga dikenali sebagai “The Googleplex”) di Mountain View, California. Semangat melakukan perkara dengan cara yang berbeza menghasilkan perpindahan tersebut. Begitu juga Yoshka.
Pencarian tanpa henti untuk jawapan yang lebih baik terus menjadi teras segala-gala yang kami lakukan. Pada hari ini, Google menghasilkan beratus-ratus produk yang digunakan oleh berbilion-bilion pengguna di seluruh dunia, daripada YouTube dan Android hingga Gmail dan tentu sekali Google Search. Walaupun kami telah meninggalkan pelayan Lego dan menambah beberapa ekor anjing syarikat, semangat kami untuk membina teknologi untuk semua masih kekal bersama kami — dari bilik asrama, ke garaj dan sehingga hari ini.