Hak Asasi Manusia

Dalam surat pertama mereka kepada pemegang saham, pengasas kami menyerlahkan matlamat Google iaitu untuk “membangunkan perkhidmatan yang nyata sekali dapat menambah baik kehidupan pengguna seramai yang mungkin”. Visi ini sentiasa menjadi panduan kami semua di Google. Kami percaya akan pengaruh dan potensi teknologi untuk memberikan kesan yang benar-benar positif di seluruh dunia.

Dalam apa-apa jua yang kami lakukan, termasuklah melancarkan produk baharu dan mengembangkan operasi kami di seluruh dunia, kami sentiasa berpandukan standard hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kami komited untuk menghormati hak yang dinyatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan triti pelaksanaan perisytiharan tersebut, serta mendukung standard yang ditetapkan dalam Prinsip Panduan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGP) dan dalam Prinsip Inisiatif Rangkaian Global (Prinsip GNI).

Selain memanfaatkan teknologi untuk memajukan hak asasi manusia dan mencipta peluang baharu bagi semua orang di seluruh dunia, kami komited untuk membuat keputusan yang bertanggungjawab berhubung teknologi yang baru muncul.

PENGAWASAN EKSEKUTIF DAN TADBIR URUS LEMBAGA PENGARAH

Usaha Google dalam hak sivil dan hak asasi manusia dijalankan melalui Program Hak Asasi Manusia kami, iaitu fungsi utama yang bertanggungjawab untuk memastikan -- di seluruh Google dan pada semua produk Google (seperti perkakasan, Google Search, Google Cloud dan YouTube) -- komitmen kami terhadap UNGP, Prinsip GNI dan instrumen hak sivil serta hak asasi manusia yang lain akan dipenuhi.

Pihak pengurusan kanan menyelia pelaksanaan kerja hak sivil dan hak asasi manusia serta menyediakan maklumat terkini secara berkala kepada Jawatankuasa Audit dan Pematuhan Lembaga Pengarah Alphabet. Pada tahun 2020, Lembaga Pengarah telah meminda piagam Jawatankuasa Audit dan Pematuhan untuk menyertakan pengawasan isu hak sivil dan hak asasi manusia dengan jelas.

Tatkala kami berkembang sebagai syarikat , kami terus meningkatkan dan mengembangkan pelaksanaan komitmen hak asasi manusia kami. Sebagai contoh, kami menubuhkan Majlis Eksekutif Hak Asasi Manusia (HREC) untuk menyediakan pengawasan dan panduan kepada Program Hak Asasi Manusia kami mengenai hak asasi manusia global dan hak sivil dalam negara di A.S. Ahli Majlis akan mewakili kawasan dan fungsi produk utama di seluruh Google dan mendengar maklum balas daripada ketua Program Hak Asasi Manusia.

PROGRAM HAK ASASI MANUSIA

Program Hak Asasi Manusia memajukan strategi seluruh syarikat berhubung hak sivil dan hak asasi manusia, memberikan nasihat kepada pasukan produk tentang kesan hak sivil dan hak asasi manusia yang berkemungkinan, menjalankan usaha wajar hak asasi manusia serta berinteraksi dengan pakar dan pihak berkepentingan luaran.

Kerja-kerja berkaitan hak sivil dan hak asasi manusia kami disepadukan dalam proses dan prosedur di seluruh syarikat. Rangkaian pekerja yang meliputi bidang produk, serantau dan fungsi bertanggungjawab atas kerja sehari-hari yang melindungi pengguna kami. Pekerja juga boleh mengemukakan kebimbangan tentang hak asasi manusia dan hak sivil, yang disemak oleh Program Hak Asasi Manusia dan pihak pengurusan kanan, jika berkaitan.

Usaha Wajar dan Pengurusan Risiko

Kami menggabungkan prinsip hak sivil dan hak asasi manusia dalam strategi jangka panjang dan proses membuat keputusan harian Google. Google mempunyai penasihat perundangan khusus produk yang menasihati pasukan produk yang merupakan sebahagian daripada pembangunan dan kerah tugas produk serta ciri baharu. Penasihat perundangan produk dan serantau bekerjasama dengan pakar isi kandungan dan serantau dalam kalangan kakitangan dasar Google untuk menilai risiko perundangan dan dasar. Program Hak Asasi Manusia juga mengurus usaha wajar hak asasi manusia, termasuk penilaian kesan hak asasi manusia, bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalaman dalam bidang seperti tadbir urus data, dasar kandungan dan rantaian bekalan.

Penglibatan

Berinteraksi dengan pakar dan pihak berkepentingan luaran yang terbabit adalah penting bagi kerja hak sivil dan hak asasi manusia kami. Interaksi secara tetap dan rundingan rasmi dengan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain memaklumkan perkembangan produk dan dasar kami.

Interaksi ini membantu kami mengenal pasti, mengutamakan dan menangani kesan hak sivil dan hak asasi manusia yang sedia ada serta yang berkemungkinan. Interaksi ini juga memberikan peluang penting bagi Google untuk mendapatkan maklum balas tentang cara dan bidang yang harus dipertimbangkan untuk memperbaik dasar, amalan dan perkhidmatan kami.

KETELUSAN

Ketelusan merupakan teras komitmen kami untuk menghormati hak asasi manusia. Pada tahun 2010, kami merupakan syarikat Internet pertama yang melancarkan alat untuk memberitahu orang ramai tentang permintaan kerajaan yang meminta data pengguna atau pengalihan keluar kandungan. Hari ini, hab Laporan Ketelusan Google merangkumi laporan ketelusan tentang permintaan maklumat pengguna, permintaan kerajaan untuk mengalih keluar kandungan, trafik dan gangguan, serta banyak topik lain yang berkemungkinan memberikan kesan kepada hak asasi manusia.

Ketelusan membantu pengguna kami, orang ramai, pengawal selia dan penggubal dasar memahami dasar dan produk kami. Itulah sebabnya kami telah mencipta alatan seperti Cara Google Search Berfungsi, Cara Google Play Berfungsi dan Cara YouTube Berfungsi untuk menjelaskan cara produk kami berfungsi dan berkongsi pendekatan kami terhadap beberapa isu tertentu, seperti maklumat palsu dan kualiti maklumat.

Sebagai ahli pengasas Inisiatif Rangkaian Global, Google tertakluk pada penilaian berkala oleh pihak bebas untuk menyemak cara syarikat menyepadukan Prinsip GNI dalam tadbir urus, usaha wajar dan pengurusan risiko, serta amalan operasi kami. GNI menjadikan penilaian syarikat ini tersedia kepada orang ramai.

Kembali ke atas