Cara perniagaan kami berfungsi
Iklan membantu kami membiayai produk kami
Misi kami untuk menyusun maklumat dunia dan menjadikannya mudah diakses dan berguna di serata dunia telah menjadi teras bagi segala-gala yang kami lakukan di Google dari dahulu hingga kini. Itulah sebabnya kami membina begitu banyak produk, seperti Carian, Peta dan Gmail, yang boleh diakses secara percuma oleh semua orang.
Melalui pengiklanan, kami boleh menawarkan produk kami kepada semua orang. Walaupun kami menjual beberapa produk seperti telefon Pixel, apl di Gedung Play, langganan YouTube dan alatan untuk perniagaan, sebahagian besar daripada pendapatan kami dijana daripada pengiklanan.
Bagaimanakah pengiklanan di Google berfungsi? Kami menjana pendapatan dengan menjual ruang iklan kepada perniagaan -- besar dan kecil, global dan tempatan -- dalam dua cara utama. Pertama, perniagaan boleh menjangkau bakal pelanggan dengan menyiarkan iklan pada pelbagai produk Google seperti Carian, Peta dan YouTube.
Kedua, perniagaan boleh membeli ruang iklan yang kami paparkan pada tapak dan apl yang menjadi rakan kongsi kami, seperti penerbit berita dan blog. Dalam cara yang kedua ini, kebanyakan wang yang terhasil adalah milik rakan kongsi dan wang tersebut membantu mereka membiayai kandungan mereka. Oleh itu, iklan bukan sahaja membantu Google tetapi turut membantu banyak tapak web dan pencipta kandungan yang lain.
Pada asasnya, kami memperoleh sebahagian besar pendapatan kami dengan menyiarkan iklan bersama dengan hasil Carian yang berkaitan di Google.com. Jika berminat, anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara kami menjana pendapatan melalui pengiklanan.
Kami tidak menjual maklumat peribadi anda kepada sesiapa
Kami menggunakan maklumat peribadi anda untuk menjadikan produk kami lebih berguna bagi anda. Dengan maklumat peribadi anda, kami dapat autolengkap istilah carian anda, membantu anda pulang ke rumah dengan lebih cepat menggunakan Peta atau menyiarkan iklan yang lebih berguna kepada anda berdasarkan minat anda. Akan tetapi kami tidak sekali-kali menjual maklumat peribadi anda kepada sesiapa dan anda boleh menggunakan banyak produk kami tanpa perlu log masuk atau menyimpan sebarang maklumat peribadi sama sekali.
Apabila kami menyiarkan iklan, pengiklan memberi kami bayaran sama ada untuk peletakan iklan -- seperti sepanduk di bahagian atas halaman web -- atau untuk prestasi sebenar iklan -- misalnya apabila seseorang mengklik iklan itu. Pengiklan tidak memberi kami bayaran untuk maklumat peribadi, seperti nama atau e-mel anda, dan kami tidak sekali-kali berkongsi maklumat tersebut dengan pengiklan, melainkan anda meminta kami berbuat demikian. Kami juga tidak sekali-kali menggunakan e-mel, dokumen, foto atau maklumat sensitif seperti bangsa, agama atau orientasi seksual untuk memperibadikan iklan kepada anda. Kami berkongsi laporan dengan pengiklan kami untuk membantu mereka memahami prestasi iklan mereka, tetapi kami berbuat demikian tanpa mendedahkan sebarang maklumat peribadi anda. Pada setiap titik dalam proses pemaparan iklan, kami memastikan maklumat peribadi anda dilindungi menggunakan teknologi keselamatan yang terkemuka dalam industri.
Data anda, pilihan anda
Apabila bercakap tentang privasi, kami tahu bahawa satu tetapan tidak memenuhi keperluan semua orang. Itulah sebabnya kami membina kawalan privasi yang hebat dan mudah digunakan dalam Akaun Google anda dan terus dalam produk kami agar anda dapat memilih tetapan privasi yang sesuai untuk anda.
Apabila kami memaparkan iklan kepada anda, kami memberi anda ketelusan dan kawalan supaya anda dapat membuat keputusan berdasarkan fakta. Sekiranya anda ingin tahu sebab anda melihat iklan tertentu, anda boleh memilih Mengapa iklan ini? untuk mendapatkan maklumat lanjut. Jika anda mendapati iklan tertentu tidak berkaitan lagi, anda boleh meredam iklan itu. Anda boleh menggunakan Tetapan Iklan untuk mengawal maklumat tentang anda yang digunakan untuk menyiarkan iklan. Jika anda tidak mahu melihat iklan diperibadikan sama sekali, anda boleh mematikan iklan pada bila-bila masa.
Dengan adanya pengiklanan, kami dapat menawarkan produk kami kepada pengguna di seluruh dunia secara percuma dan kami dapat membantu orang ramai mencari jawapan serta menyelesaikan pelbagai urusan. Akan tetapi, apabila anda menggunakan produk kami, anda mengamanahkan maklumat peribadi anda kepada kami. Itulah sebabnya kami tidak sekali-kali menjual maklumat peribadi anda dan kami memberi anda kawalan privasi yang hebat. Tanggungjawab ini wujud daripada penghasilan produk yang boleh diakses oleh semua orang di mana-mana sahaja.