Garis Panduan Komuniti
Garis panduan komuniti wujud untuk menyokong perbincangan sihat dan terbuka yang telah menjadi sebahagian daripada budaya kami selama ini. Garis panduan ini membantu kami mewujudkan persekitaran yang membolehkan kami bergabung sebagai sebuah komuniti demi mengejar misi bersama kami dan berkhidmat untuk pengguna kami. Bekerja di Google memerlukan kami menggalas tanggungjawab yang besar. Berbilion pengguna bergantung pada kami setiap hari untuk mendapatkan maklumat berkualiti tinggi dan andal. Oleh itu, penting untuk kami menghormati kepercayaan itu dan mengekalkan keutuhan produk serta perkhidmantan kami. Garis panduan berikut ialah dasar rasmi dan digunakan apabila anda berkomunikasi di tempat kerja.
Berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu diingat semasa anda berkomunikasi:
- Jadilah orang yang bertanggungjawab. Percakapan dan perbuatan anda adalah penting. Anda bertanggungjawab atas percakapan dan tindakan anda serta anda akan dipertanggungjawabkan untuk kedua-dua perkara tersebut.
- Jadilah orang yang berguna. Pendapat anda ialah sumbangan anda — suarakan pendapat yang produktif.
- Jadilah orang yang berfikir dengan teliti. Pernyataan anda boleh dianggap sebagai pernyataan daripada Google tanpa mengira niat anda, dan anda harus berfikir dengan teliti apabila membuat pernyataan yang boleh menyebabkan orang lain membuat anggapan yang salah.
1. Apabila berkomunikasi, ikut tiga nilai Google.
Hormati pengguna, hormati peluang, hormat-menghormati antara satu sama lain. Nilai kita mengawal tingkah laku kita dalam usaha mengejar misi kita. Kita masing-masing perlu memiliki nilai ini secara peribadi; kita semua perlu memiliki nilai ini secara bersama.
2. Laksanakan peranan anda untuk memastikan Google menjadi persekitaran yang selamat, produktif dan inklusif untuk semua orang.
Walaupun perkongsian maklumat dan idea dengan rakan sekerja membantu kita membina komuniti, tindakan mengganggu hari kerja untuk berdebat dengan hangat tentang politik atau kisah berita terkini akan memberikan kesan yang sebaliknya. Tanggungjawab utama kita adalah untuk melaksanakan kerja yang telah diserahkan kepada kita semasa diambil bekerja, bukan untuk menghabiskan masa kerja berdebat tentang topik yang tiada kaitan dengan kerja.
Elakkan perbualan yang mengganggu tempat kerja atau yang melanggar dasar tempat kerja Google. Pengurus dikehendaki menangani perbincangan yang melanggar peraturan tersebut.
3. Perbincangan yang membuat Googler lain rasa terasing tidak diterima di sini.
Jangan melakukan hasut maya atau melibatkan diri dalam serangan ad hominem--tentang sesiapa sahaja. Ini termasuk membuat pernyataan yang menghina, merendahkan maruah atau memalukan (sama ada secara individu atau dengan merujuk pada kumpulan) pekerja lain, tenaga kerja lanjutan kita, rakan kongsi perniagaan kita atau pihak lain (termasuk tokoh masyarakat), atau yang melanggar piawaian tingkah laku atau dasar lain terhadap gangguan dan buli.
4. Anda bertanggungjawab atas kata-kata dan jangkauan anda.
Kata-kata dan tindakan anda penting dan boleh meninggalkan kesan yang kekal. Tunjukkan sifat hormat dalam ulasan anda tentang (dan kepada) rakan Googler anda.
Sebagai Googler, ulasan anda--di mana-mana sahaja anda membuat ulasan itu--boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Googler lain, diri anda dan syarikat kita. Kita bebas untuk mengemukakan kebimbangan dan mempersoalkan serta mempertikaikan aktiviti syarikat dengan sopan--itu adalah sebahagian daripada budaya kita. Pastikan anda bercakap menggunakan maklumat yang betul. Jangan buat anggapan yang anda mempunyai cerita yang lengkap dan berhati-hati untuk tidak membuat pernyataan palsu atau yang mengelirukan tentang produk atau perniagaan Google yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap produk kita dan usaha yang kita lakukan.
5. Kendalikan data kita dengan berhati-hati.
Sentiasa ingat bahawa komunikasi kita boleh disebarkan dengan pantas dan meluas. Jangan akses, dedahkan atau sebarkan maklumat yang bersifat Perlu Tahu atau Sulit, iaitu tindakan yang melanggar Dasar Keselamatan Data kita.
Anda bertanggungjawab untuk mematuhi garis panduan ini, Tatakelakuan kita, dan dasar tempat kerja yang lain. Jika perbincangan atau kelakuan tidak mematuhi dasar ini, pengurus dan pemilik/penyederhana perbincangan dikehendaki campur tangan. Jika perlu, kami akan mengalih keluar forum perbincangan tertentu, membatalkan keistimewaan mengulas, melihat atau menyiarkan, atau mengambil tindakan disiplin.
Tertakluk pada undang-undang dan dasar tempatan, Googler dan tenaga kerja lanjutan kami boleh berkomunikasi tentang gaji, masa bekerja, terma dan syarat pekerjaan yang lain, atau tentang sebarang pelanggaran undang-undang, namun demikian mereka tidak boleh mendedahkan maklumat sulit kepada orang ramai melainkan seperti yang telah diperuntukkan oleh undang-undang.