Langkau ke kandungan

100% tenaga boleh diperbaharui hanyalah permulaan

Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa pada tahun 2017 Google akan mencapai 100% tenaga boleh diperbaharui untuk operasi global kami — termasuk pusat data dan pejabat kami. Ini merupakan pencapaian yang besar. Kami merupakan salah satu syarikat pertama yang membuat kontrak jangka panjang berskala besar untuk membeli tenaga boleh diperbaharui secara terus; kami telah menandatangani perjanjian pertama kami untuk membeli semua tenaga elektrik dari ladang angin bersaiz 114 megawatt di Iowa, pada tahun 2010. Hari ini, kami merupakan pembeli tenaga boleh diperbaharui korporat terbesar di dunia, dengan komitmen yang mencecah 2.6 gigawatt (2,600 megawatt) tenaga angin dan suria. Jumlah itu lebih besar daripada banyak syarikat utiliti besar dan lebih dua kali ganda lebih banyak berbanding 1.21 gigawatt yang diperlukan untuk menghantar Marty McFly pulang.

Untuk mencapai matlamat ini, kami akan membeli tenaga elektrik angin dan solar yang secukupnya secara langsung setiap tahun untuk setiap unit elektrik yang digunakan oleh operasi kami, secara global. Dan kami memberi tumpuan kepada mewujudkan tenaga baharu daripada sumber yang boleh diperbaharui, jadi kami hanya membeli daripada projek yang dibiayai oleh pembelian kami.

Pusat data merupakan nadi utama Internet, memproses dan menyimpan sejumlah besar maklumat. Jurutera kami telah menghabiskan beberapa tahun menyempurnakan pusat data Google, menjadikan mereka 50 peratus lebih cekap tenaga daripada purata industri. Tetapi kami masih memerlukan lebih banyak tenaga untuk memproses trilion carian Google setiap tahun, memainkan lebih daripada 400 jam video YouTube yang dimuat naik setiap minit dan menguasakan produk dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna kami. Itulah sebabnya kami mula membeli tenaga boleh diperbaharui — untuk mengurangkan jejak karbon kami dan menangani perubahan iklim. Tetapi ia juga merupakan keputusan perniagaan yang bernas.

Dalam tempoh enam tahun yang lalu, kos angin dan solar masing-masing turun 60 peratus dan 80 peratus, membuktikan bahawa sumber tenaga boleh diperbaharui semakin menjadi pilihan kos yang paling rendah. Kos elektrik merupakan salah satu komponen terbesar perbelanjaan operasi kami di pusat data, dan mempunyai kos jangka panjang yang stabil bagi tenaga boleh diperbaharui memberikan perlindungan terhadap turun naik harga tenaga.

20 projek tenaga boleh diperbaharui kami juga membantu menyokong komuniti, dari Daerah Grady, OK, ke Daerah Rutherford, NC, ke Wilayah Atacama Chile hinga ke majlis perbandaran di Sweden. Setakat hari ini, komitmen pembelian kami akan menghasilkan pelaburan infrastruktur lebih daripada $3.5 bilion di seluruh dunia, kira-kira dua pertiga daripada jumlah itu di Amerika Syarikat. Projek ini juga menjana puluhan juta dolar setiap tahun dalam bentuk pendapatan kepada pemilik hartanah tempatan, dan puluhan juta lagi kepada kerajaan tempatan dan kebangsaan dalam bentuk hasil cukai.

Oleh itu, kami berada di landasan yang betul untuk memadankan penggunaan tenaga global kami setiap tahun menjelang tahun hadapan. Tetapi ini hanyalah langkah pertama. Sambil melihat pada masa depan yang terdekat ini, kami akan meneruskan kontrak langsung sebegini semasa kami berkembang, dengan tumpuan yang lebih besar terhadap pembelian tenaga boleh diperbaharui serantau di tempat kami mempunyai pusat data dan operasi penting. Memandangkan angin tidak bertiup 24 jam sehari, kami juga akan meluaskan pembelian kami kepada pelbagai sumber tenaga yang dapat membolehkan kuasa boleh diperbaharui, setiap jam bagi setiap hari. Matlamat utama kami adalah untuk mencipta dunia yang semua orang — bukan hanya Google — mempunyai akses kepada tenaga bersih. Untuk maklumat lanjut tentang langkah seterusnya, baca kertas putih kami.

Menjalankan perniagaan kami secara mampan alam sekitar telah menjadi nilai teras daripada mula, dan kami sentiasa mengusahakan idea baharu untuk menjadikan kemampanan suatu realiti — seperti membolehkan pembinaan tempat kerja yang sihat dan membuat papan pemuka sebenar untuk planet. Kami telah melaporkan jejak karbon kami dan menerbitkan maklumat tentang program kemampanan kami selama bertahun-tahun dalam kertas putih, blog, catatan dan di laman web kami. Kini, kami telah memasukkan kesemua maklumat ini dalam Laporan Alam Sekitar yang baharu

Anda juga boleh melihat laman web alam sekitar kami yang baharu, yang mana kami berkongsi cerita tentang cara kami mencari cara baharu untuk berbuat lebih banyak sambil mengurangkan penggunaan. Kebanyakan inisiatif kemampanan di kampus kami dimulakan oleh beberapa Googler yang bersemangat, dan kini telah berkembang menjadi usaha di seluruh syarikat. Daripada panel solar di bumbung kami kepada program basikal kami, inisiatif ini terletak di tengah-tengah budaya syarikat kami dan membantu kami serta pengguna kami mengurangkan kesan kami terhadap alam sekitar.

Sains memberitahu kami bahawa menangani perubahan iklim adalah keutamaan global yang mendesak. Kami percaya sektor swasta, dengan kerjasama para pemimpin dasar, mesti mengambil langkah berani dan kita boleh melakukannya dengan cara yang membawa kepada pertumbuhan dan peluang. Dan kami mempunyai tanggung jawab untuk melakukannya - kepada pengguna dan alam sekitar.

Ada banyak lagi kemajuan yang perlu kami laksanakan, tetapi pencapaian yang kami umumkan hari ini berasa seperti suatu perkembangan yang sungguh mengujakan. Sekarang, ayuh kembali bekerja.

Ketahui lebih lanjut tentang kemampanan alam sekitar di Google
Kembali ke atas