Kod Tatakelakuan Pembekal Google

   1. PENGENALAN

Google beriltizam untuk melayan semua anggota kerjanya dengan hormat dan digniti, memastikan keadaan kerja yang sihat dan selamat, dan melaksanakan tanggungjawab serta operasi secara etika terhadap persekitaran. Google menjangkakan komitmen yang sama daripada pembekal, vendor, rakan kongsi pengambilan pekerja, kontraktor, subkontraktor dan pembekal sub peringkat (“Pembekal”). Kod Tatakelakuan Pembekal ini (“Kod”) menetapkan jangkaan terhadap cara syarikat yang berurusan dengan kami sewajarnya beroperasi. Jangkaan ini diperolehi daripada serta menghormati kepiawaian dan rangka kerja yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, termasuk Prinsip Panduan UN terhadap Perniagaan dan Hak Asasi Manusia. Kod ini terpakai kepada semua Pembekal barangan dan perkhidmatan kepada Alphabet, Google dan anak syarikatnya (“Google”).

Pembekal hendaklah melaksanakan dan memantau program-program yang direka bentuk untuk mencapai pematuhan Kod, sekalipun Kod tersebut melebihi keperluan undang-undang yang berkenaan. Pembekal juga harus mendapatkan pembekal, vendor dan kontraktor mereka sendiri untuk mematuhi Kod dalam operasi mereka dan merentasi rantaian bekalan mereka.

1.1 Pematuhan terhadap kewajipan dasar. Selain kewajipan yang digariskan dalam Kod, Pembekal harus mematuhi semua undang-undang yang berkenaan, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, imigresen dan undang-undang buruh, peraturan undang-undang, persekitaran, undang-undang kesihatan dan keselamatan, peraturan perdagangan dan sekatan, arahan serta garis panduan. Pembekal juga harus mendukung semua kewajipan dalam mana-mana kontrak yang telah dipersetujui antara Pembekal dengan kami. Pembekal yang menggunakan harta atau fasiliti kami juga harus mematuhi semua polisi dan keperluan yang berkenaan.

1.2 Permintaan, pendedahan dan dokumentasi maklumat. Pembekal akan bekerjasama untuk memenuhi sebarang permintaan maklumat atau audit yang kami mulakan untuk mengesahkan pematuhan Pembekal dengan Kod dan mendedahkan maklumat yang diminta dengan jitu pada tepat masanya. Permintaan maklumat atau audit boleh dimulakan atas: topik yang diliputi dalam Kod; amalan pengambilan pekerja dalam entiti-entiti yang dihubungi dengan peruntukan barangan atau perkhidmatan kepada Google; dan aktiviti perniagaan, struktur, situasi kewangan dan prestasi Pembekal. Pembekal akan mewujudkan dan mengekalkan dokumen dan rekod dengan pematuhan terhadap undang-undang, keperluan peraturan dan Kod yang berkenaan. Pembekal juga akan memastikan kerahsiaan yang sewajarnya untuk melindungi privasi. Pemalsuan rekod, penolakan untuk mendedahkan atau salah nyataan keadaan atau amalan dalam rantaian bekalan tidak boleh diterima dan boleh mengakibatkan penamatan hubungan perniagaan Pembekal dengan Google.

1.3 Pensijilan. Pembekal harus menggunakan pensijilan pihak ketiga yang boleh dipercayai, termasuk untuk bahan, proses pengeluaran dan produk, di mana berkenaan. Sekiranya Google meminta sijil-sijil tambahan, seperti ISO 50001, 14001 atau 45001, Pembekal perlu berusaha dengan penuh suci hati untuk mendapatkan sijil tersebut tepat pada masanya.

1.4 Akauntabiliti. Walaupun kami menuntut untuk bekerjasama dengan Pembekal untuk menambahbaik keadaan, kami boleh menggantung atau menamatkan hubungan kami dengan mana-mana Pembekal yang gagal memenuhi tuntutan-tututan dalam Kod.

   2. AMALAN TENAGA KERJA DAN HAK ASASI MANUSIA YANG ADIL

Google menjangkakan Pembekalnya turut beriltizam untuk mendukung hak asasi manusia pekerja, melayan mereka dengan digniti dan hormat serta menyediakan tempat kerja yang bebas daripada gangguan, diskriminasi dan tindakan balas. Perkara ini diaplikasikan kepada semua pekerja, termasuk pekerja sementara, migran, pelajar, kontrak dan pekerja langsung. Oleh itu, Pembekal harus menguruskan tenaga kerja mereka sendiri untuk mencapai hasil yang berikut:

2.1 Pekerjaan yang dipilih secara bebas dan memerangi pengabdian moden. Pembekal tidak akan menggunakan atau membenarkan sebarang bentuk pemaksaan, pengikatan, kerja tanpa gaji untuk satu tempoh tetap (“indentured labour”) atau terlibat dalam amalan yang menjurus kepada pengabdian moden, seperti yang ditakrifkan dalam “Policy Against Modern Slavery” Google. Segala kerja, termasuk kerja lebih masa, mestilah secara sukarela, dan semua pekerja harus bebas untuk menamatkan pekerjaan mereka pada bila-bila masa tanpa reprisal kewangan atau penalti jika notis yang sewajarnya diberikan, di mana perkara ini harus dinyatakan dalam kontrak pekerja. Pembekal tidak akan menyekat kebebasan pekerja untuk masuk, keluar atau berada di mana-mana fasiliti atau tempat kerja yang dikawal oleh Pembekal secara tidak munasabah.

Pembekal tidak boleh menyimpan dokumen pengenalan, imigresen atau permit kerja pekerja lebih lama daripada yang diperlukan untuk pemprosesan pentadbiran. Pembekal boleh menyediakan fasiliti penyimpanan peribadi yang boleh dikunci di penginapan pekerja untuk membolehkan pekerja menyimpan dokumen dan item peribadi mereka, dan kecuali dibenarkan di bawah undang-undang, Pembekal tidak boleh mengakses fasiliti penyimpanan semasa fasiliti itu digunakan oleh pekerja.

Pembekal akan menyimpan rekod terkini bagi semua pekerja, termasuk pekerja migran. Rekod pekerja seharusnya meliputi syarat kontrak yang asas, tarikh mula dan tamat pekerjaan, umur pekerja dan bayaran untuk sebarang yuran.

Selaras dengan Takrifan Yuran dalam “Responsible Business Alliance”, Pembekal tidak memerlukan pekerja untuk membayar yuran pengambilan pekerja atau sebarang yuran yang lain untuk pekerjaan mereka, sama ada secara langsung, atau melalui pihak ketiga, dan dijangkakan akan membayar semula mana-mana pekerja yang telah membayar yuran sedemikian dan menyelenggarakan bukti pembayaran. Di mana pekerja asing yang bukan warganegara bagi negara di mana pekerjaan tersebut dijalankan telah digajikan, diambil bekerja dan berhijrah dari negara asal mereka ke negara lain bagi tujuan khusus bekerja untuk Pembekal, Pembekal akan membayar kos pengangkutan masuk dan pulang setelah tamat tempoh pekerjaan mereka. Keperluan ini tidak diaplikasikan kepada pekerja dengan pemastautin tetap atau pekerja profesional1 yang sedang bertugasan .

Sebagai sebahagian daripada proses pengambilan pekerja, Pembekal perlu menyediakan surat perjanjian bertulis kepada setiap pekerja yang menjelaskan syarat pekerjaan, termasuk ciri asas pekerjaan, gaji dan waktu bekerja, dalam bahasa yang difahami oleh pekerja. Pekerja dikehendaki membekalkan perjanjian bertulis kepada pekerja asing sebelum pekerja meninggalkan negara asal mereka. Tiada penggantian atau perubahan dibenarkan kepada perjanjian tersebut setelah tiba di negara yang menerima pekerja tersebut, kecuali perubahan tersebut dikenakan untuk pematuhan undang-undang tempatan dan membekalkan syarat yang sama atau lebih bermanfaat kepada pekerja.

2.2 Pekerja muda dan pelajar intern. Pembekal tidak akan menggunakan buruh kanak-kanak. “Kanak-kanak” bermaksud mana-mana individu yang berumur di bawah 15 tahun, dalam lingkungan umur untuk menamatkan pendidikan wajib, atau di bawah umur minimum untuk bekerja di negara tersebut, tertakluk kepada yang memiliki syarat umur tertinggi. Pembekal akan melaksanakan mekanisme yang sewajarnya untuk mengesahkan umur pekerja. Jika buruh kanak-kanak dikenal pasti, langkah-langkah remedi diperlukan.

Pekerja berumur di bawah 18 tahun (“Pekerja Muda”) tidak akan melaksanakan kerja yang mungkin memudaratkan kesihatan atau keselamatan mereka, termasuk syif malam dan kerja lebih masa. Pembekal boleh menggunakan program perantisan yang sah dan diuruskan dengan tertib, seperti latihan amali pelajar dalam bidang pengajian yang berkaitan, dengan syarat Pembekal menyelenggarakan rekod pelajar, melaksanakan ketelitian rapi yang sewajarnya bagi rakan kongsi pendidikan dan melindungi hak pelajar menurut undang-undang dan peraturan yang bersesuaian. Sekiranya tiada undang-undang tempatan, Pembekal akan membayar pekerja berstatus pelajar, intern dan perantis sekurang-kurangnya kadar gaji yang sama dengan pekerja peringkat permulaan yang lain yang melakukan tugas serupa.

2.3 Gaji dan faedah. Pembekal akan membayar gaji dan faedah yang diwajibkan di bawah undang-undang tepat pada masanya dan dengan mematuhi undang-undang tempatan, akan membayar untuk kerja lebih masa pada kadar bayaran yang lebih tinggi daripada kadar jam biasa. Pengecualian boleh diberikan, tertakluk pada undang-undang tempatan, di mana (i) pekerja dilindungi oleh perjanjian rundingan bersama, yang membenarkan perkara ini, atau (ii) pekerja adalah kakitangan profesional.2 Pembekal akan memastikan pembayaran yang setaraf kepada semua pekerja untuk kerja yang mempunyai nilai yang sama atau setara. Selain itu, Pembekal akan membekalkan pekerja dengan slip gaji yang boleh difahami tepat pada masanya, atau dokumentasi setara yang menerangkan asas pampasan mereka. Potongan daripada gaji tidak akan digunakan sebagai tindakan tatatertib.

2.4 Waktu kerja. Minggu kerja tidak boleh melebihi 60 jam seminggu (termasuk kerja lebih masa) atau bilangan jam maksima yang ditetapkan oleh undang-undang tempatan, tertakluk kepada yang mana lebih kurang. Pengecualian boleh diberikan, tertakluk pada undang-undang tempatan, di mana (i) pekerja dilindungi oleh perjanjian rundingan bersama, yang membenarkan perkara ini, (ii) pekerja ialah kakitangan profesional,3 atau (iii) kerja tersebut dilaksanakan sebagai susulan kepada situasi kecemasan atau luar jangka, yang tidak boleh diramalkan. Pekerja harus dibenarkan sekurang-kurangnya satu hari rehat bagi setiap tujuh hari. Pembekal akan memberikan pekerja waktu rehat yang diwajibkan di bawah undang-undang atau waktu rehat yang munasabah.

2.5 Layanan adil dan tanpa diskriminasi. Pembekal tidak akan membenarkan sebarang bentuk perlakuan tidak berperikemanusiaan atau ancaman sebarang layanan sedemikian, termasuk keganasan, gangguan, penyalahgunaan, hukuman fizikal, paksaan mental atau fizikal, membuli atau menghina secara terbuka.

Pembekal akan memberikan peluang yang setara di tempat kerja dan kemudahan yang munasabah berkaitan kekurangan upaya, agama, atau kehamilan. Oleh yang demikian, Pembekal tidak akan mendiskriminasi dalam penyaringan, pengambilan pekerja atau amalan pekerjaan, termasuk gaji, kenaikan pangkat, ganjaran, dan akses kepada latihan berdasarkan bangsa, warna kulit, usia, jantina, identiti atau ekspresi jantina, status imigresen, orientasi seksual, status perkahwinan, etnik, negara asal, kasta, kurang upaya, maklumat genetik, keadaan kesihatan, kehamilan, agama, afiliasi politik, keahlian kesatuan, status veteran yang dilindungi, seni tubuh, sejarah jenayah atau sebarang status yang dilindungi di bawah undang-undang . Selanjutnya, Pembekal tidak akan mengenakan ujian perubatan yang tidak sah di sisi undang-undang terhadap pekerja atau bakal pekerja, termasuk ujian kehamilan atau ujian fizikal yang boleh digunakan secara berdiskriminasi.

2.6 Diversiti dan inklusi. Pembekal digalakkan untuk membentuk polisi dan amalan yang mengenal pasti, mengukur dan membangunkan budaya diversiti dan inklusi secara keseluruhan di tempat kerja.

2.7 Kebebasan berpersatuan dan rundingan bersama. Pekerja dibenarkan untuk bersekutu secara bebas, menjalankan rundingan bersama dan menubuhkan serta menyertai kesatuan pekerja pilihan mereka menurut undang-undang tempatan. Sekiranya undang-undang tempatan mengehadkan kebebasan berpersatuan dan rundingan bersama, pekerja akan dibenarkan untuk memilih dan menyertai jenis perwakilan pekerja alternatif yang sah di sisi undang-undang.

2.8 Pasukan keselamatan. Pembekal tidak akan menggunakan pasukan keselamatan peribadi atau awam yang terlibat dalam amalan yang mengehadkan kebebasan berpersatuan atau yang mengakibatkan tekanan, tidak berperikemanusiaan atau layanan yang mengaibkan, atau kecederaan anggota badan yang bukan penggunaan paksaan yang sah di sisi undang-undang tempatan.

1 Seperti yang ditakrifkan dalam Takrifan Yuan “Responsible Business Alliance”
2 Seperti yang ditakrifkan dalam Takrifan Yuan “Responsible Business Alliance”
3 Seperti yang ditakrifkan dalam Takrifan Yuan “Responsible Business Alliance”

   3. KESIHATAN DAN KESELAMATAN

Google menjangkakan Pembekal untuk menyediakan keadaan bekerja yang sihat dan selamat. Pembekal harus berusaha untuk melindungi pekerja dari kebahayaan dan menerapkan amalan kesihatan dan keselamatan dalam operasi mereka. Pembekal akan menyepadukan keperluan berikut dalam proses perniagaan mereka:

3.1 Pematuhan kepada undang-undang dan peraturan kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Pembekal akan mematuhi semua undang-undang dan peraturan kesihatan dan keselamatan yang berkenaan. Pembekal akan mengenal pasti, menilai dan mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahaya kesihatan dan keselamatan, termasuk faktor tekanan kimia, biologi, fizikal, dan ergonomik, elektrik dan sumber tenaga yang lain, bahan api, kenderaan, bahaya dari terjatuh, serta kerja yang memerlukan keupayaan fizikal. Langkah-langkah mitigasi mungkin termasuk menghindarkan bahaya, menggantikan proses atau bahan, mengurus risiko melalui reka bentuk yang betul, melaksanakan kawalan kejuruteraan dan pentadbiran, mengendalikan penyelenggaraan pencegahan dan prosedur kerja yang selamat dan menyediakan panduan dan latihan kesihatan dan keselamatan yang berterusan.

Sekiranya langkah-langkah ini tidak dapat mengurangkan bahaya dengan secukupnya, Pembekal akan menyediakan pekerja dengan kelengkapan perlindungan diri yang sesuai secara percuma, latihan tentang masa dan cara menggunakan kelengkapan tersebut dengan betul dan membekalkan maklumat tentang sebarang kemungkinan risiko kepada mereka akibat bahaya tersebut. Pembekal akan mengenal pasti keadaan kerja yang menimbulkan risiko kepada wanita yang hamil atau menyusukan bayi dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyisihkan atau mengurangkan risiko itu, memaklumkan mereka tentang sebarang kemungkinan bahaya dan menyediakan kemudahan yang munasabah.

3.2 Kecederaan dan penyakit akibat pekerjaan. Pembekal akan melaksanakan prosedur untuk mencegah, mengurus, mengesan, mendokumentasikan dan melaporkan kecederaan dan penyakit akibat pekerjaan, termasuk menggalakkan pekerja untuk membuat laporan tanpa ancaman disiplin atau tindakan balas. Kes kecederaan dan penyakit hendaklah diklasifikasikan, direkodkan dan disiasat, rawatan perubatan harus diberikan, dan tindakan pembetulan hendaklah dilaksanakan untuk menyingkirkan punca bahaya dan memudahcarakan pekerja kembali ke tempat kerja. Pembekal harus mengesan jumlah masa bekerja dan bilangan hari tidak bekerja disebabkan oleh kecederaan dan/atau penyakit yang terbabit daripada kerja.

3.3 Kesediaan kecemasan. Pembekal akan mengenal pasti dan bersedia untuk potensi kecemasan. Pembekal akan melaksanakan pelan kecemasan apabila perlu, menyediakan maklumat hubungan untuk responden kecemasan, dan memberikan panduan kepada pekerja mengenai prosedur tindak balas terhadap kecemasan, termasuk laporan kecemasan, pemberitahuan dan pemindahan pekerja, latih tubi, pengesanan kebakaran dan peralatan pemadaman, kemudahan keluar dan pelan pemulihan. Latih tubi kecemasan akan dijalankan sekurang-kurangnya setahun sekali atau seperti yang dikehendaki oleh undang-undang tempatan, yang ditentukan oleh mana-mana polisi yang lebih ketat.

3.4 Perlindungan mesin. Pembekal akan sentiasa menilai mesin untuk mengesan bahaya kepada pekerja, dan jika perlu, menyediakan kawalan mesin yang diselenggara dengan betul (contohnya, kawalan fizikal, interlock dan peranti berhenti, dan lain-lain).

3.5 Sanitasi, makanan dan perumahan. Pembekal akan menyediakan akses yang mudah kepada kemudahan tandas yang bersih, air yang boleh diminum, penyediaan makanan yang bersih, penyimpanan, dan kemudahan tempat makan untuk pekerja. Jika Pembekal menyediakan kemudahan dorm atau rumah, kemudahan tersebut semestinya bersih dan selamat, dengan ruang peribadi yang mencukupi, keistimewaan untuk masuk dan keluar yang munasabah, laluan kecemasan, sistem pemanasan dan pengudaraan, pencahayaan yang mencukupi dan air panas untuk membersih dan mandi.

3.6 Dokumentasi. Pembekal akan menyelenggarakan rekod yang mencukupi mengenai latihan yang diperlukan, penilaian risiko, analisis bahaya, helaian keselamatan data, dan pemberitahuan atau pelanggaran seperti yang dituntut di bawah peraturan kesihatan dan keselamatan serta amalan terbaik industri. Pembekal juga akan menyelenggarakan dokumentasi bagi sistem pengurusan kesihatan dan keselamatan mereka dan/atau program untuk pencegahan kecederaan dan penyakit serta pelan tindakan kecemasan yang sewajarnya berdasarkan aktiviti mereka. Pembekal akan menyelenggarakan rekod yang mendokumentasikan insiden dan kecederaan yang terbabit dengan kerja, termasuk jumlah penyakit dan kecederaan berkaitan kerja, kadar kecederaan dan bilangan hari tidak bekerja akibat kecederaan dan/atau penyakit yang berkaitan kerja. Maklumat ini mesti disediakan kepada Google jika diminta.

   4. PERLINDUNGAN PERSEKITARAN

Google mengenal bahawa tanggungjawab persekitaran adalah penting untuk menghasilkan produk bertaraf dunia. Dalam operasi perkilangan dan pembinaan, Pembekal akan berusaha untuk membentuk proses berjana semula dan akan meminimumkan kesan buruk terhadap masyarakat, persekitaran dan sumber semula jadi dalam operasi mereka di samping melindungi kesihatan dan keselamatan komuniti di tempat yang mereka beroperasi. Pembekal akan menyepadukan keperluan berikut dalam proses perniagaan mereka:

4.1 Permit dan pelaporan persekitaran Pembekal akan memperoleh dan menyimpan versi terkini semua permit, kelulusan dan pendaftaran yang diperlukan dan memenuhi pematuhan operasi dan keperluan pelaporan mereka.

4.2 Pencegahan pencemaran dan reduksi sumber. Pembekal akan meminimumkan atau menghapuskan pelepasan dan pengeluaran bahan cemar, penjanaan sisa dan pencemaran bunyi yang mungkin menjejaskan persekitaran atau orang ramai, termasuk kemerosotan keadaan tanah, melalui amalan seperti menambah peralatan kawalan pencemaran, mengubahsuai pengeluaran, penyelenggaraan, proses fasiliti, atau melalui kaedah yang lain. Pembekal akan mengurangkan penggunaan sumber semula jadi, termasuk air, bahan api fosil, bahan mentah, mineral dan produk hutan asli melalui amalan seperti mengubahsuai pengeluaran, penyelenggaraan, proses fasiliti, penggantian bahan, pengitaran semula atau penggunaan semula, pemuliharaan, kitaran air dan sisa, atau melalui kaedah yang lain.

4.3 Bahan terhad dan berbahaya. Pembekal akan mengenal pasti, melabel dan mengurus penggunaan bahan kimia, sisa dan bahan lain yang menimbulkan bahaya kepada orang ramai dan persekitaran untuk memastikan pengendalian, pergerakan, penggunaan, penyimpanan, pengitaran semula atau penggunaan semula dan pelupusan yang selamat. Untuk menangani sebarang kesan berpotensi daripada bahan berbahaya, Pembekal akan mengenal pasti, memantau, mengawal, merawat, dan mengurangkan pelepasan udara, sisa air dan sisa berbahaya yang dijana daripada penyelenggaraan bahan. Selain itu, Pembekal akan mematuhi “Manufacturing Restricted Substances Specification” Google berkaitan penggunaan bahan tertentu, termasuk keperluan melabel untuk pengitaran semula dan pelupusan. Pembekal akan berusaha untuk mengurangkan atau menghapuskan penjanaan sisa berbahaya. Pembekal akan mengurus sisa berbahaya dengan mematuhi peraturan yang berkenaan dan akan melupuskan sisa tersebut di fasiliti yang dibenarkan. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, mencegah pelepasan dan tumpahan yang salah di sisi undang-undang daripada memasuki takungan banjir atau tanah. Di samping itu, Pembekal akan mengesan dan mendokumentasikan data sisa berbahaya.

4.4 Mitigasi dan pengurusan air dan sisa yang tidak berbahaya. Pembekal akan merangkakan dan melaksanakan program pengurusan air yang mendokumentasikan, mencirikan dan memantau sumber, penggunaan dan pelepasan air; mencari peluang untuk penjimatan air; dan mengawal saluran pencemaran. Selain itu, Pembekal akan berusaha untuk mengurangkan atau menghapuskan semua jenis sisa. Sekiranya sisa tidak dapat dihapuskan, Pembekal akan mengurus dan mengawal semua aliran sisa supaya selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkenaan dengan cara yang bertanggungjawab serta selamat terhadap persekitaran. Perkara ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pencegahan pelepasan dan tumpahan yang salah di sisi undang-undang daripada memasuki takungan banjir atau tanah dan merawat seperti yang diperlukan—sebelum pelepasan atau pelupusan bagi—semua sisa air dan sisa pepejal daripada fasiliti penyelenggaraan, proses industri dan sanitasi. Pembekal akan mengesan dan mendokumentasikan data penggunaan air, pelepasan air, pelepasan bahan tercemar ke dalam air dan sisa tidak berbahaya.

4.5 Penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau. Sepanjang operasi mereka, Pembekal akan berusaha untuk meningkatkan kecekapan tenaga, meminimumkan penggunaan tenaga dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (“GHG”). Pembekal akan mewujudkan matlamat pengurangan GHG dan melaporkan kemajuan secara umum. Pembekal akan mengesan, mendokumentasikan dan melaporkan secara umum mengenai penggunaan tenaga dan pelepasan Skop 1 dan 2 serta kategori yang nyata bagi GHG Skop 3. Pembekal beriltizam untuk meningkatkan pembelian tenaga bersih mereka secara tahunan untuk meliputi pengeluaran produk Google. Pembekal akan memberikan pengakusaksian tahunan bagi pembelian tenaga bersih dan peruntukan khusus Google. Akhir sekali, sekiranya boleh, Pembekal beriltizam untuk mencapai 100% tenaga bersih merentas operasi menjelang tahun 2030 untuk produk dan perkhidmatan Google.

4.6 Dokumentasi. Pembekal akan menyelenggarakan rekod yang mencukupi bagi latihan yang diperlukan, penilaian risiko, permit dan pemberitahuan atau pelanggaran seperti yang dituntut di bawah peraturan persekitaran serta amalan terbaik industri. Pembekal akan menyelenggarakan dokumentasi pengurusan kaedah untuk menyertakan bahan berbahaya/pelan sisa dan pelan impak persekitaran yang bersesuaian berdasarkan aktiviti mereka.

   5. ETIKA

Google menjangkakan Pembekalnya untuk mendukung kepiawaian etika yang tertinggi. Pembekal harus berusaha untuk mewujudkan polisi, proses, latihan dan nada yang jelas di peringkat atasan untuk mewujudkan budaya amalan perniagaan yang beretika. Pembekal akan menyepadukan keperluan berikut untuk menggalakkan integriti dalam operasi perniagaan mereka:

5.1 Integriti perniagaan. Pembekal akan mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dalam kerja mereka dengan Google dan akan mendedahkan dengan segera kepada Google sebarang bentuk perhubungan kewangan, keluarga atau perhubungan peribadi rapat lain yang diketahui dengan pekerja Google yang Pembekal menyedari akan mempunyai pengaruh dalam pemilihan, pengurusan atau bekerja dengan penglibatan Pembekal di Google. Jika Pembekal memberikan ihsan perniagaan kepada pekerja Google, mereka tidak akan melakukannya dengan kerap dan pemberian itu mestilah bernilai sederhana. Pembekal juga akan menggambarkan urusan perniagaan dalam buku dan rekod mereka dengan tepat.

Pembekal tidak akan menawarkan atau menerima sebarang bentuk sogokan, rasuah, pemerasan atau penggelapan. Pembekal tidak akan membuat bayaran yang salah di sisi undang-undang secara langsung atau tidak langsung atau membuat kempen atau sumbangan politik berkaitan dengan kerja mereka untuk Google atau bagi pihak Google. Pembekal juga akan melaksanakan dan menyelenggarakan pemantauan, penyimpanan rekod dan prosedur penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan dengan anti-rasuah, perniagaan yang adil, pengiklanan dan undang-undang persaingan.

5.2 Harta Intelek. Pembekal akan menghormati hak harta intelek dan akan menjalankan pemindahan teknologi dan pengetahuan dengan cara yang melindungi hak tersebut dan maklumat pelanggan dan pembekal.

5.3 Penyumberan yang bertanggungjawab. Pembekal akan berusaha untuk merancang rantaian bekalan mereka daripada bahan mentah kepada produk akhir atau perkhidmatan yang diberikan kepada Google. Pembekal hendaklah, atas permintaan, memberikan data pemetaan rantaian bekalan dan rantaian maklumat penjagaan yang didokumentasikan (contohnya, bil muatan, pesanan belian, pembayaran) kepada Google untuk memenuhi kewajipan usaha wajar rantaian bekalannya untuk menunjukkan asalan dan kawalan bagi setiap bahan mentah atau input. Pembekal akan menyelenggarakan polisi dan prosedur dengan sewajarnya untuk memastikan bahawa sebarang tantalum, timah, tungsten, emas, kobalt dan sebarang mineral dan komoditi berkaitan yang lain dalam produk yang dikeluarkan akan disumberkan menurut kerangka kerja usaha wajar yang diiktiraf. Pembekal akan melaksanakan usaha wajar pada sumber dan rantaian penjagaan bagi mineral ini dan akan menyediakan maklumat tersebut kepada Google sekiranya diminta.

5.4 Privasi dan keselamatan maklumat. Pembekal akan melindungi kerahsiaan maklumat peribadi semua orang yang berurusan dengan mereka, termasuk pembekal, pelanggan, pengguna dan pekerja. Pembekal akan mematuhi keperluan undang-undang dan peraturan privasi dan keselamatan maklumat apabila maklumat peribadi dikumpul, disimpan, diproses, dihantar dan dikongsi. Selain itu, Pembekal tidak akan bertindak secara sewenang-wenangnya untuk mengganggu hak privasi pekerja.

5.5 Kebolehaksesan. Pembekal akan menerapkan amalan terbaik, inovasi dan kepiawaian kebolehaksesan yang berkaitan, menurut “Content Accessibility Guidelines 2.1 Level AA”, untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan yang merangkumi semua bagi pengguna dan pihak berkepentingan Google.

   6. SISTEM PENGURUSAN

Pembekal akan mewujudkan sistem pengurusan yang direka bentuk untuk memastikan bahawa operasi Pembekal (a) mematuhi keperluan Google dan undang-undang serta peraturan yang berkenaan, (b) mematuhi tanggungjawab Kod, dan (c) mengenal pasti dan memitigasikan risiko operasi yang berkaitan dengan Kod. Sistem pengurusan juga perlu memudahcarakan peningkatan yang berterusan.

Sistem pengurusan akan mengandungi elemen-elemen berikut:

  1. Peringkat eksekutif, komitmen umum dan akauntabiliti untuk menghormati hak asasi manusia dan persekitaran;
  2. Proses untuk mengenal pasti, memantau dan mematuhi semua undang-undang, peraturan, kepiawaian dan keperluan yang berkenaan.
  3. Penilaian risiko dan proses pengurusan risiko, termasuk hak asasi manusia dan proses usaha wajar persekitaran yang mengenal pasti, mencegah, mengutamakan dan menangani risiko yang diliputi dalam Kod;
  4. Penilaian kendiri, pemantauan, dan objektif serta pelan peningkatan bertulis yang berterusan;
  5. Latihan untuk pekerja dan pembekal Pembekal, seperti yang ditentukan oleh Pembekal yang dinyatakan, untuk melaksanakan polisi Pembekal dan untuk mematuhi Kod dan semua keperluan undang-undang yang berkenaan;
  6. Proses untuk menyampaikan maklumat kepada pekerja, pembekal dan pelanggan mengenai Kod, berkongsi polisi, amalan, jangkaan dan prestasi Pembekal, serta memantau pematuhan Kod;
  7. Proses yang memberi pekerja dan pihak berkepentingan yang lain cara memberikan maklum balas terhadap pengurusan, amalan dan keadaan yang diliputi dalam Kod;
  8. Mekanisme yang memberi pekerja cara untuk melaporkan rungutan tanpa nama (kecuali tidak dibenarkan di bawah undang-undang), mencegah tindakan balas kerana melaporkan rungutan atau mengambil bahagian dalam penyiasatan terhadap rungutan, melindungi kerahsiaan dan anonymity pekerja yang membangkitkan kebimbangan secara suci hati, mewujudkan proses pelaporan untuk rungutan yang diberikan publisiti dan disampaikan kepada pekerja dengan jelas, dan memastikan Pembekal akan sentiasa memantau proses pelaporan, merekodkan masalah yang timbul, menyiasat sewajarnya, dan mengambil tindakan yang sewajarnya; dan
  9. Proses untuk langkah-langkah remedi yang tepat pada masanya bagi sebarang ketidakpatuhan yang dikenal pasti melalui penilaian, pemeriksaan, penyiasatan, semakan dan laporan dalaman atau luaran.

Rujukan

Kami membangunkan keperluan ini untuk Pembekal kami berdasarkan nilai dan iltizam kami kepada standard dan rangka kerja yang berikut:

  • Responsible Business Alliance’s Code of Conduct
  • Responsible Business Alliance’s Definition of Fees
  • United Nations Guiding Principles on Business and Human Rights
  • International Bill of Human Rights
  • International Labour Organization’s Declaration on Fundamental Principles and Rights at Work
  • International Labour Organization Conventions on Minimum Age (No. 138), Worst Forms of Child Labor (No. 182), and Forced or Compulsory Labour (No. 29)
  • Web Content Accessibility Guidelines (WCAG) 2.10, Level AA
  • United States Federal Acquisition Regulation (FAR)
  • Organization for Economic Co-operation and Development (“OECD”) Guidelines For Multinational Enterprises
  • OECD Due Diligence Guidance For Responsible Business Conduct
  • OECD Due Diligence Guidance for Responsible Supply Chains of Minerals from Conflict-Affected and High-Risk Areas
  • Voluntary Principles on Security and Human Rights

Kod ini selaras dengan Responsible Business Alliance’s Code of Conduct.

Versi rasmi bagi Kod Tatakelakuan Pembekal Google ialah versi bahasa Inggeris, yang akan digunakan jika berlaku sebarang konflik atau tidak konsisten dengan versi yang diterjemahkan.

Kembali ke atas