Pada bulan Februari 2019, Hayley Bell bertolak sendirian dengan menunggang motosikalnya ke John o 'Groats, sebuah kampung jauh di utara Scotland. Perjalanan solo pada waktu petang ke sebuah kampung yang indah itu merupakan pencetus bagi Hayley untuk memulakan [Women Riders World Relay] (https://womenridersworldrelay.com/) (WRWR) secara rasmi. Acara yang dirancang oleh Hayley dan pasukan sukarelawan yang berdedikasi ini mengumpulkan lebih daripada 3,000 orang penunggang (atau Penjaga), satu baton legenda, 79 lintasan sempadan dan laluan rumit yang meliputi lebih daripada 100,000 kilometer sepanjang tempoh setahun.
Ramai penunggang memilih untuk menyertai satu peringkat sahaja dan memilih untuk menjelajahi laluan di negara mereka sendiri. Manakala yang lain menggunakan kesempatan ini sebagai peluang untuk menerokai tempat baharu atau budaya yang asing bagi mereka. (Beberapa orang penunggang yang lebih bersemangat berazam untuk menyertai seluruh peringkat acara ini.) Dalam tempoh beberapa ratus hari, di setiap negara dan dalam setiap bahasa, pentadbir acara menggunakan Google Maps untuk membuat pelan tindakan yang perlu diikut oleh penunggang semasa mereka menelusuri jalan kecil serta jalan kampung dan menyeberangi sempadan. Apabila acara melabuhkan tirainya, mereka yang dahulunya tidak mengenali antara satu sama lain kini disatukan oleh pengalaman - bersama-sama, mereka baru sahaja menyempurnakan acara tunggang motosikal berganti-ganti yang terbesar dalam sejarah.
Hayley yang dibesarkan di kawasan desa Inggeris tidak pernah dibenarkan menunggang motosikal, walaupun ayah, abang dan sepupunya merupakan penunggang motosikal tegar. Keinginannya untuk menunggang motosikal pudar lama-kelamaan - sehinggalah lima tahun lalu, ketika perjalanan untuk menonton perlumbaan motosikal ditambah pula dengan keseronokan membonceng motosikal bekas teman lelakinya menyemarakkan semula minatnya. Dia menempah ujian lesen menunggang motosikal dan sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi. Hayley memulakan WRWR semata-mata kerana ingin mencari wanita lain untuk menunggang motosikal bersama-sama, tetapi WRWR berkembang menjadi sebuah komuniti seluruh dunia.
Tugas menyelaraskan acara sebesar ini bukan sekadar menggerakkan orang dari A ke B; tetapi tugas memastikan penunggang selamat (dan diberi makan secukupnya) juga penting. Oleh sebab pasukan perancangan merancang laluan untuk lebih daripada 300 hari itu menggunakan Google Maps, mereka juga dapat mengenal pasti tempat yang sesuai untuk berhenti jika penunggang perlu berehat, seperti stesen minyak 24 jam atau kedai untuk menambahkan bekalan dan hal ini menambahkan satu lagi lapisan keselamatan untuk setiap peringkat perjalanan apabila para penunggang melalui laluan itu.
Ikuti tiga orang wanita yang melakukan perjalanan paling bersejarah dalam hidup mereka merentasi Amerika Syarikat, Mexico dan Cape Barat Afrika Selatan.
Majlis penutup telah diadakan pada pertengahan bulan Februari dan dihadiri oleh ratusan penunggang dari 40 buah negara. Para wanita itu saling bertukar cerita dan mengenang kembali perjalanan mereka. “Kebanggaan yang kami lihat datang dari negara, dan minat yang mendalam dan semangat untuk berkenal-kenalan dan berkongsi pengalaman ini antara satu sama lain sangat mengagumkan," kata Hayley.
Apabila saya melihat sejarah penunggangan motosikal di seluruh dunia, saya selalu menemui wanita yang berani dalam sejarah tersebut - namun industri ini sering ditujukan kepada lelaki. Penting bagi saya untuk menjadi sebahagian daripada usaha seluruh dunia ini untuk meningkatkan kesedaran industri motosikal agar mula memandang serius kepada golongan wanita.
Mikki M. Avis (A.S.) 724 km
Saya mula menunggang motosikal kerana saya berasa berkuasa, bebas dan cergas, seperti mengharungi pengalaman sendiri dan bukan sekadar menyaksikannya. Saya telah melihat pelbagai tempat menakjubkan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya berpeluang melihatnya, saya menemui orang yang mungkin tidak dapat saya temui dan saya menjadi semakin matang berkat kedua-dua pengalaman tersebut.
Lesa Jordan Speller (Kanada) 640 km
Saya mempunyai kecacatan dan saya sukar untuk berjalan. Motosikal yang diubah suai ini seolah-olah kaki yang tidak pernah saya miliki; sekarang, saya boleh pergi ke tempat-tempat yang ingin saya kunjungi dan menemui orang-orang yang hebat di sepanjang perjalanan itu. Kebebasan ini telah mengubah hidup saya.
Shinta Utami (Indonesia) 13,000 km
Anak lelaki saya yang berumur 24 tahun meninggal dunia akibat leukemia. Dia sangat suka menunggang motosikal. Dia meninggalkan motosikalnya untuk saya kerana dia tahu sudah lama saya memendamkan hasrat untuk menunggang motosikal. Secara tidak langsung, menunggang motosikal membolehkan saya bersama anak saya. Inilah yoga, inilah meditasi dan inilah yang memastikan saya sentiasa waras. Aktiviti ini juga membantu saya mengatasi kesedihan dan memberi saya sesuatu untuk saya tumpukan perhatian. Saya akan membawa semangat anak saya bersama saya dalam acara ini dan sudah pasti saya akan menangis pada sepanjang perjalanan pulang.
Jenny Hibbert (New Zealand) 498 km
Kami ingin menunjukkan kepada dunia bahawa, lihatlah, semua wanita dari serata dunia ini berkumpul bersama dengan matlamat yang sama. Walau apa pun warna kulit, agama dan kepercayaan politik mereka, itu semua tidak penting. Mereka ialah nenek, ibu, isteri, kakak, anak perempuan dan apa-apa sahaja. Kami berkumpul bersama dan kami semua sepakat tentang sesuatu. Itu sesuatu yang sangat luar biasa.
Courtnye Nix (A.S.) 19,312 km
Fotografi oleh Lanakila MacNaughton