Cara pengesan logam dan Google Earth membantu seorang lelaki membongkar masa silam
Peter Welch berdiri di atas sebidang tanah di selatan England, dilengkapi dengan pengesan logam dan penyodok tanah. Sepetak tanah ladang yang dikelilingi oleh petak-petak tanah ladang yang lain menimbulkan persoalan: Mengapa mencari di sini? “Kita mencari bekas tanaman, kesan kering kontang, bulatan dan ciri-ciri luar biasa. Apa-apa yang kelihatan ganjil bagi kawasan luar bandar boleh menjadi bukti bangunan, jalan dan struktur lain dari berabad-abad yang lalu.” Di tempat yang ganjil inilah harta karun tersembunyi – dan Google Earthlah yang memberi Peter pandangan mata burung yang diperlukannya untuk mencari harta karun tersebut.
Peter telah membuat beribu-ribu penemuan, yang kebanyakannya berusia lebih 300 tahun, termasuk serpihan pedang, barang kemas purba, bahkan ladam kuda Rom, yang dikenali sebagai “hipposandal” - tetapi tiada yang dapat menandingi penemuan terhebat Peter: harta karun berupa duit syiling Saxon yang bernilai lebih £1.5 juta.
Peter mula tertarik dengan pengesanan logam sejak menggunakan pengesan logam pertamanya untuk mencari duit syiling dan barang kemas lama Rom di padang lumba kuda milik ibu bapanya pada tahun 1976. Beliau menjadikan hobi itu sebagai kerja sepenuh masa pada tahun 1990 setelah menubuhkan Kelab Pengesan Logam Weekend Wanderers. Peter mengatur dan mengetuai rombongan pengesanan logam yang disertai oleh pakar dan orang baru dari seluruh dunia. Weekend Wanderers merupakan kelab terbesar seumpamanya di U.K.
Walaupun Peter telah melakukan kerja ini selama beberapa dekad, kadar kejayaannya untuk menemukan barang bersejarah telah meningkat sejak pelancaran Google Earth. Earth membantu Peter menyelidiki tanah ladang untuk melakukan pencarian dan mengelakkannya daripada bergantung pada gambar dari udara yang sudah lapuk. Pada bulan Disember 2014, Peter ternampak tanda berbentuk segi empat di sebidang tanah pada Google Earth. Di kawasan inilah Weekend Wanderers menemukan selonggok duit syiling Saxon yang bernilai £1.5 juta. Kini duit syiling itu dipamerkan di Muzium Kaunti Buckinghamshire, atas perintah Ratu Elizabeth.
Walaupun belum ada penemuan lain yang dapat menandingi penemuan Peter dari segi skalanya, terdapat banyak tanah yang belum diterokai yang belum dilihat oleh pakar pengesan logam. “Tiada sesiapa yang tahu, mungkin kami akan menemukan harta karun lagi,” kata Peter.
“Saya pasti hal itu akan berlaku tidak lama lagi.”