Langkau ke kandungan

Membina industri baharu

Lawatan ke tiga tempat di mana desakan terhadap tenaga boleh diperbaharui merangsang ekonomi tempatan.

Jesse Katz

Di sudut kosong Oklahoma Panhandle, di antara Arnett (populasi 511) dengan Vici (populasi 702), masa depan benar-benar sedang dibina. Dengan ketinggian kira-kira 300 kaki dari bumi berpasir, 93 turbin Projek Angin Great Western berputar ditolak bayu dan bilah turbin tersebut berputar seperti tangan jam yang dipercepatkan. “Ini kawasan yang sangat terpencil,” kata Todd Unrein, pengurus tapak, sambil memandu di atas jalan tanah di dalam kereta Chevy yang berdebu.

Great Western hanya mempunyai satu pelanggan—Google—yang membeli setiap megawatt-jam yang dihasilkan oleh ladang angin. Sebagai pembeli korporat tenaga boleh diperbaharui terbesar dunia, Google mendapatkan tenaga daripada kumpulan pengeluar kuasa bersih yang semakin berkembang, kebanyakannya di kawasan yang sama terpencil: Llano Estacado Texas, Gurun Atacama Chile, Lapland Sweden, daik dan empangan Laut Utara Belanda dan kaki bukit Pergunungan Blue Ridge Carolina Utara. Secara keseluruhan, Google telah menandatangani perjanjian dengan 20 projek angin dan suria untuk lebih daripada 2.6 gigawatt, usaha yang membolehkannya mencapai kejayaan yang jarang dicapai syarikat lain: Sehingga tahun 2017, Google masih mengikuti jadual untuk membeli tenaga yang boleh diperbaharui yang mencukupi bagi memenuhi 100 peratus daripada keperluan operasinya.

“Kami bekerja bermati-matian untuk mencapai matlamat ini,” kata Marsden Hanna, ketua program Dasar Tenaga dan Pasaran Global di Google yang menyatakan bahawa setahun yang lalu Google masih separuh perjalanan menuju penanda aras itu. “Tetapi ini hanyalah permulaan.”

Usaha mengutamakan alam sekitar tidak semudah menjalankan talian penghantaran elektrik dari kincir angin terus ke pusat data. Undang-undang utiliti awam, sekurang-kurangnya di banyak tempat di dunia, hanya membenarkan monopoli yang dikawal selia untuk menjual elektrik kepada pengguna. Untuk mengatasi halangan pengawalseliaan itu, Google perlu mengatur penyelesaian sementara: mula-mula membeli tenaga dari ladang kincir angin atau panel suria, kemudian menjual tenaga boleh diperbaharui itu kepada syarikat utiliti, dan akhirnya membeli semula tenaga elektrik biasa daripada syarikat utiliti tersebut. Ia bukan model yang terbaik, tetapi ia membenarkan Google menambahkan tenaga bersih pada grid tempat pusat datanya beroperasi, dengan itu mengimbangi tenaga elektrik 24/7 yang digunakannya dengan jumlah kuasa angin dan suria yang sama. Menurut Hanna, matlamat yang seterusnya adalah untuk “memastikan seluruh bekalan tenaga Google menggunakan tenaga bersih sepanjang masa.”

Penghasilan 2,600 megawatt tenaga hijau memerlukan kerja berpasukan

20 Perkongsian boleh diperbaharui Google menjana pekerjaan serba baharu—kebanyakannya di luar hab teknologi utama.

Amerika Utara: 1. Golden Hills: Kaunti Alameda, California 2. Bethel: Kaunti Castro, Texas 3. Happy Hereford: Kaunti Deaf Smith, Texas 4. Bluestem: Kaunti Beaver, Oklahoma 5. Cimarron Bend: Kaunti Clark, Kansas 6. Great Western: Kaunti Ellis/Woodward,Oklahoma 7. Canadian Hills: Kaunti Canadian, Oklahoma 8. Minco II: Kaunti Grady/Caddo, Oklahoma 9. Story County II: Kaunti Story/Hardin, Iowa 10. MidAmerican Energy Wind VIII: Kaunti O’Brien, Iowa 11. Rutherford Farm: Kaunti Rutherford, Carolina Utara Eropah: 12. Lehtirova: Sweden 13. Maevaara: Sweden 14. Jenasen: Sweden 15. Eolus Wind Farms: Sweden 16. Tellenes: Norway 17. Beaufort: Belanda 18. Delfzijl: Belanda 19. Windpark Krammer: Belanda Amerika Selatan: 20. El Romero: Chile

Mencari sumber tenaga boleh diperbaharui yang mencukupi untuk memenuhi penggunaan elektrik tahunannya (kira-kira sama dengan keseluruhan bandar San Francisco) bermaksud meneroka kawasan baharu dan membangunkan pembekal baharu. Kesan riak yang berlaku adalah ketara: Google telah menyasarkan berbilion-bilion untuk membina ladang angin dan solar di tempat yang ladang sebegitu tidak wujud sebelum ini, yang seterusnya membantu membangunkan ekonomi tenaga hijau yang secara keseluruhannya menggajikan berjuta juruteknik turbin, pemasang solar, profesional kemampanan dan buruh binaan di seluruh dunia. Lawati beberapa tempat ini (dalam kes ini, tiga) dan anda mula melihat cara usaha itu mengubah komuniti.

Jika anda benar-benar berimaginasi tanpa sebarang halangan, anda mungkin dapat melihat sekilas lalu betapa luar biasa cara matahari dan angin—yang sering dikaitkan dengan dunia roh, mitos, tahayul—telah bercampur aduk dalam kehidupan moden kita yang serba digital dan dalam talian. Dengan kata lain, apabila angin di Oklahoma berhembus turun di dataran, deruan angin itulah yang sebenarnya menggerakkan carian Google seseorang untuk mendapatkan "lirik lagu Oklahoma!

Tapak 1:

Windpark Krammer

Belanda

34 turbin

Pada malam bulan Januari tahun 1953, ketika seluruh Belanda lena dibuai mimpi, angin ribut yang ganas memaksa ombak memukul beberapa buah kampung di pinggir pantai. Banjir yang dahsyat—yang digelar watersnoodramp itu—meranapkan beratus-ratus ribu ekar ladang, merosakkan puluhan ribu struktur dan mengorbankan 1,836 nyawa. Bencana itu mendorong kerajaan Belanda untuk memulakan projek kejuruteraan awam yang mengagumkan: rangkaian tetambak, pintu air, kunci air dan empangan yang dikenali sebagai Delta Works. Hari ini Delta Works melindungi negara yang sebahagian besarnya berada di paras atau di bawah paras laut.

Di sanalah, di atas tetanjung pelindung itu, dua koperasi tempatan—satu (Zeeuwind) yang terletak di wilayah Semenanjung Zeeland, yang satu lagi (Deltawind) di pulau Goeree-Overflakkee—telah muncul sebagai perintis tenaga yang boleh diperbaharui yang tidak disangka-sangka. Projek angin 102 megawatt dengan 34 kincir angin yang mereka bina bersama-sama, Windpark Krammer, akan membekalkan elektrik bukan sahaja kepada beberapa ribu keluarga Belanda tetapi juga kepada empat syarikat multinasional besar, termasuk Google. “Orang di sini sangat idealis,” kata pengarah Windpark, Tijmen Keesmaat. Beliau menjelaskan bahawa koperasi itu ditubuhkan pada tahun 1980-an, “ketika semangat antinuklear membara di serata tempat dan semua orang bercakap tentang keinginan untuk menghijaukan dunia.”

“Kami menghasilkan begitu banyak tenaga, kami boleh menyumbang kepada usaha menjadikan syarikat antarabangsa seperti Google lebih hijau.”

Tijmen Keesmaat, Windpark 
Krammer, Belanda

Tijmen Keesmaat, Windpark 
Krammer, Belanda

Keesmaat mengakui wujud ironi tertentu berhubung kes koperasi Bohemia Belanda yang menjual tenaga elektrik kepada syarikat dagangan awam yang beroperasi di serata dunia. “Terus-terang, saya agak bimbang tentang bagaimana perasaan ahli koperasi itu berhubung perkara ini,” kata Keesmaat, yang berusia 44 tahun dan memegang ijazah sarjana falsafah sains, teknologi dan kemasyarakatan daripada Universiti Twente. “Akan tetapi, mereka sangat bangga sebenarnya. Kami menghasilkan begitu banyak tenaga, kami boleh menyumbang kepada usaha menjadikan syarikat antarabangsa lebih hijau.”

Tidak seperti pengeluar tenaga AS, yang menghadapi pelbagai kekangan pengawalseliaan, biasanya Keesmaat boleh menjual tenaga elektrik terus kepada pengguna di pasaran Eropah yang tidak dikawal selia. Pemimpin projek ini tertarik kepada Google kerana mereka mengetahui bahawa sebahagian daripada matlamat Google adalah untuk menjadikan pasaran tenaga bersih begitu banyak dan mampu dimiliki sehinggakan semua orang akan berminat untuk menggunakannya. “Sangat penting bagi kami bahawa mereka benar-benar bertanggungjawab terhadap masa depan, kata Keesmaat, “bahawa ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk semata-mata.”

Tapak 2:

Ladang Rutherford

North Carolina, Amerika Syarikat

289,104 panel suria

Ia terbentang dari Tasik Bubba’s Carp hingga ke Mr. Radiator, Sekolah Tinggi Chase hingga ke Gereja Providence United Methodist: 289,104 panel suria monohabluran, kira-kira bersamaan dengan 375 buah padang bola sepak, setiap satunya menyendeng ke arah selatan pada sudut 20 darjah tepat untuk menangkap seberapa banyak pancaran matahari yang mungkin. Dengan permukaan silikon ungu bergaris silangnya itu, ia membuatkan kita terkenang mata lalat gergasi.

“Apabila saya berada di tengah-tengah susunan panel suria yang banyak itu, saya rasa ia agak cantik,” kata Tequila G. Smith, pengurus flit suria Southern Power, anak syarikat Southern Company, yang memiliki Rutherford Farm, projek suria berdekatan Forest City, Carolina Utara. Walaupun Power Southern secara teknikalnya menjual tenaga elektrik Rutherford Farm kepada Duke Energy—mengikut rangka kerja pengawalseliaan Carolina Utara—Google telah bersetuju terlebih dahulu untuk membeli setiap megawatt-jam yang dihasilkan oleh Rutherford Farm daripada Duke Energy.

“Mengambil sumber asli bumi dan menghasilkan sesuatu yang memanfaati orang ramai—penyataan akan kesempurnaan kitaran hayat sesuatu.”

Tequila G. Smith, Southern Power

Tequila G. Smith, Southern Power

Bukanlah satu kebetulan, Google mengendalikan pusat data di Lenoir, Carolina Utara yang terletak 70 km dari Forest City, berdekatan Highway 64 dan menggunakan tenaga yang dibekalkan oleh grid Duke Energy sejak tahun 2007 lagi. Apabila Google memilih Lenoir (dan Kaunti Caldwell di sekitarnya) sebagai tapak untuk apa yang akan menjadi sarang penghala dan suis yang bernilai $1.2 bilion, sebahagiannya adalah disebabkan oleh asal usul bandar itu sebagai hab pembuatan perabot; walaupun beberapa kilang khemah Lenoir telah ditutup dan Google dapat menggunakan semula infrastruktur kuasa yang pernah digunakan oleh kilang-kilang tersebut.

Melalui kerjasama dengan Rutherford Farm yang terletak hanya sejam dari lebuh raya, kini Google dapat menyuntikkan tenaga bersih daripada matahari ke dalam rangkaian prasarana jana kuasa lama itu. Hakikat bahawa cahaya matahari waktu siang dapat dimanfaatkan sebagai bahan api stesen jana kuasa yang membekalkan kuasa kepada pelayan Google adalah sesuatu yang kadangkala membuatkan Smith, pemegang ijazah kejuruteraan mekanikal dan MBA daripada Universiti Alabama di Birmingham, berasa kagum.

Penyatuan antara alam semula jadi dengan dunia maya, menghubungkan aktiviti luar rumah dengan video YouTube yang dinikmati saban hari oleh anak perempuannya yang berusia 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 12 tahun, adalah “mengagumkan,” kata Smith. “Ini benar-benar menyatakan kitaran penuh untuk sesuatu.”

Tapak 3:

Projek Angin Great Western

Oklahoma, AS

93 kincir angin

Kembali ke Panhandle, 150 batu ke barat laut Oklahoma City, Great Western Wind Project merupakan kemudahan tercanggih di salah satu kawasan paling terpencil di wilayah ini. Jalan raya melintasi Kasino Lucky Star (syarikat milik suku kaum Cheyenne dan Arapaho), merentasi daerah yang bertaburan dengan derik minyak yang masih mengepam bahan api fosil dan melewati padang rumput beralun yang membekalkan zat makanan kepada lembu Angus hitam.

“Apabila angin bertiup dan semuanya berputar, ia membuatkan saya berasa gembira,” kata Todd Unrein, yang mengurus ladang angin bersaiz 225 megawatt untuk EDF Energy Renewable yang berpusat di San Diego. Setelah bekerja beberapa tahun sebagai pengendali forklift di gudang makanan di Central Valley California, Unrein memohon pekerjaan di EDF. Beliau bermula sebagai juruteknik yang menyelenggara kincir angin yang bercambah di sepanjang Altamont Pass berhampiran Livermore, iaitu pekerjaan yang tidak memerlukan diploma atau ijazah. Beliau kemudian melompat ke Great Western pada tahun 2016 untuk mengejar kemajuan diri, walaupun beliau tahu beliau perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan di kawasan tanah pamah Midwest. “Teknologi ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang terjamin,” kata Unrein, 30, yang mempunyai isteri dan dua anak kecil.

Setakat ini, industri angin dan suria sahaja telah mewujudkan lebih daripada 450,000 peluang pekerjaan di Amerika Syarikat dan lebih daripada 4 juta di seluruh dunia, menurut Jabatan Tenaga. Jika disertakan hidroelektrik dan biobahan api, jumlah itu melonjak melebihi 9 juta.

“Teknologi ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang terjamin. Dan apabila angin bertiup dan semuanya berputar, keadaan itu membuatkan saya berasa gembira.”

Todd Unrein, Projek Angin Great Western, Oklahoma

Todd Unrein, Projek Angin Great Western, Oklahoma

Walaupun ladang angin memerlukan muka bumi yang telah melalui kajian meteorologi selama beberapa tahun, itu tidak semestinya bermakna tempat tersebut ialah yang paling berangin di planet ini. Turbin Great Western mula menghasilkan tenaga elektrik pada kelajuan angin serendah 9 batu sejam—bayu lembut—dan mencapai kapasiti penjanaan maksimum sekitar 26 hingga 29 bsj. Di atas 55 bsj—kekuatan angin kencang—turbin secara automatik ditutup. "Konsisten, itulah yang kami suka," kata Unrein.

Sekurang-kurangnya sekali sehari, Unrein akan menaiki kenderaaan 4x4 Chevy Colorado LT, radio ditala ke siaran lagu rakyat Amerika, dan memandu seberapa jauh yang dapat dilakukannya di ladang itu, yang mempunyai jalan masuk sepanjang kira-kira 50 batu. Sebahagian daripada tugasnya adalah untuk merekodkan turbin yang beroperasi dan bilangan turbin yang memerlukan servis atau pembaikan. Pembaikan sistem anggul dan rewang bukanlah untuk mereka yang lemah semangat: Juruteknik perlu memanjat tangga dalaman untuk mencapai nasel setinggi 30 tingkat, yang menempatkan penjana, kotak gear dan rangkaian pemacu, satu perjalanan yang boleh disamakan seperti memanjat batang kayu merah gergasi. "Kebanyakan orang, kami akan meminta mereka membuat ujian memanjat semasa temu duga, dan mereka akan memanjat hingga mencecah separuh ketinggian dan tidak dapat meneruskan lagi," kata Unrein, yang memerlukan masa kira-kira seminggu untuk mengatasi perasaan gementarnya ketika dia mula bekerja dulu.

Hari ini dia lebih gemar berada di luar rumah, jauh daripada trafik atau jenayah, adakalanya terlihat rusa di bawah kincir angin yang menjulang tinggi, adakalanya kelawar atau ular orok-orok, atau pada musim panas ini, kawanan pepatung.

JESSE KATZ merupakan penulis yang berpusat di Los Angeles. Beliau sering menyumbangkan hasil tulisannya kepada majalah GQ, Billboard, dan Los Angeles.

Ilustrasi oleh Mark Weaver
Carta dan Peta oleh Valerio Pellegrini

Berita Berkaitan

Cara saintis dan superkomputer dapat menjadikan air laut boleh diminum

Cara saintis dan superkomputer dapat menjadikan air laut boleh diminum

Temui pasukan yang menggunakan pembelajaran mesin untuk membantu usaha menyelamatkan lebah dunia

Temui pasukan yang menggunakan pembelajaran mesin untuk membantu usaha menyelamatkan lebah dunia

Perihal enam orang gadis yang menggunakan teknologi untuk mengatasi masalah air minum yang tidak selamat

Perihal enam orang gadis yang menggunakan teknologi untuk mengatasi masalah air minum yang tidak selamat

Perihal seorang wanita yang menggunakan Peta Google untuk mengubah industri pengangkutan dengan trak

Perihal seorang wanita yang menggunakan Peta Google untuk mengubah industri pengangkutan dengan trak

Cara saintis dan superkomputer dapat menjadikan air laut boleh diminum

Cara saintis dan superkomputer dapat menjadikan air laut boleh diminum

Temui pasukan yang menggunakan pembelajaran mesin untuk membantu usaha menyelamatkan lebah dunia

Temui pasukan yang menggunakan pembelajaran mesin untuk membantu usaha menyelamatkan lebah dunia

Perihal enam orang gadis yang menggunakan teknologi untuk mengatasi masalah air minum yang tidak selamat

Perihal enam orang gadis yang menggunakan teknologi untuk mengatasi masalah air minum yang tidak selamat

Perihal seorang wanita yang menggunakan Peta Google untuk mengubah industri pengangkutan dengan trak

Perihal seorang wanita yang menggunakan Peta Google untuk mengubah industri pengangkutan dengan trak

Cara saintis dan superkomputer dapat menjadikan air laut boleh diminum

Cara saintis dan superkomputer dapat menjadikan air laut boleh diminum

Temui pasukan yang menggunakan pembelajaran mesin untuk membantu usaha menyelamatkan lebah dunia

Temui pasukan yang menggunakan pembelajaran mesin untuk membantu usaha menyelamatkan lebah dunia

Perihal enam orang gadis yang menggunakan teknologi untuk mengatasi masalah air minum yang tidak selamat

Perihal enam orang gadis yang menggunakan teknologi untuk mengatasi masalah air minum yang tidak selamat

Perihal seorang wanita yang menggunakan Peta Google untuk mengubah industri pengangkutan dengan trak

Perihal seorang wanita yang menggunakan Peta Google untuk mengubah industri pengangkutan dengan trak

Kembali ke atas