Respons Krisis
Cara telefon pintar anda dapat membantu untuk menyelamatkan nyawa anda dalam kes kecemasan
Google bekerjasama dengan perkhidmatan kecemasan untuk menambah baik teknologi maklumat lokasi bagi pasukan bantuan
Bacaan 5 minit
Christian Steiner ialah juruterbang helikopter penyelamat yang bekerja di Pergunungan Alp Rendah Austria. Kawasan ini berbahaya namun mempunyai pemandangan yang menakjubkan. Memandangkan kawasan ini popular dalam kalangan pengembara berjalan kaki, para-peluncur dan pemain ski, kemalangan merupakan perkara yang biasa berlaku. Masalahnya, apabila Christian keluar untuk misi menyelamat di hutan Alp yang luas, beliau tidak selalunya tahu lokasi untuk pencarian, sehinggalah baru-baru ini.
Selama bertahun-tahun, beliau terpaksa bergantung pada teknologi lokasi yang lapuk, yang hanya boleh menganggarkan lokasi pemanggil berdasarkan menara sel yang terdekat. Anggaran itu berada dalam lingkungan antara 100 meter hingga 20 kilometer, yang mungkin menyebabkan beliau menerbangkan helikopternya ke puncak yang salah, malah gunung yang salah.
Ini bukan sahaja masalah kepada juruterbang helikopter seperti Christian; masalah ini telah menghantui bidang penyelamat kecemasan selama bertahun-tahun, terutama sejak penciptaan telefon mudah alih. Panggilan kecemasan daripada talian tetap disambungkan ke alamat jalan yang tepat, tetapi panggilan telefon mudah alih boleh dibuat dari mana-mana saja.
Pemanggil sering keliru, tertekan dan tidak dapat menggambarkan lokasi mereka dengan tepat. Setiap minit tambahan yang terbuang semasa cuba mencari mereka boleh menyebabkan akibat yang buruk – malah menyebabkan kehilangan nyawa.
“Selama ini saya beranggapan bahawa pasukan bantuan kecemasan mempunyai akses kepada teknologi lokasi termoden yang menakjubkan ini”, kata jurutera Google, Maria Garcia Puyol. Maria mengendalikan perkhidmatan lokasi dalam telefon AndroidAndroid ialah sistem pengendalian mudah alih yang dicipta oleh Google. Platform ini ialah sumber terbuka dan mendayakan lebih 2.5 bilion peranti (dikeluarkan oleh lebih 1,300 jenama yang berbeza) di seluruh dunia., memastikan kedudukan titik biru pada Peta Google adalah setepat yang mungkin. Apabila beliau menyedari perkhidmatan kecemasan tidak menerima jenis maklumat lokasi yang sama seperti yang disediakan untuk syarikat teksi atau penghantaran makanan, beliau bertekad untuk memperbaik keadaan ini.
Jurutera Google yang lain menyokong projek Maria dan tidak lama selepas itu, beliau berhubung dengan rakan lain dalam usaha tersebut: Persatuan Nombor Kecemasan Eropah (EENA). EENA telah berusaha lebih sedekad untuk menyokong teknologi lokasi kecemasan yang lebih berkesan. Sebagai pakar dalam protokol penyelamatan di seluruh Eropah, EENA mempunyai hubungan dengan hampir semua orang dalam bidang ini.
"Anda merasakan bahawa anda menyumbang untuk menyelamatkan orang ramai. Inilah yang mendorong saya bangun awal setiap hari dan pergi ke pejabat", kata Benoît Vivier, yang mengurus hal ehwal awam di EENA. Walaupun sesetengah negara telah membuat penambahbaikan pada ketepatan lokasi untuk tindak balas kecemasan sejak beberapa tahun ini, perubahan itu berlaku dengan kadar yang perlahan dan dalam skala yang kecil. Sebaik sahaja EENA dan Google menyedari bahawa mereka mengendalikan masalah yang sama di pihak yang berbeza, mereka memutuskan untuk mengatasi masalah tersebut bersama-sama.
Beberapa bulan kemudian, Perkhidmatan Lokasi Kecemasan Android (ELS) telah dilancarkan pada lebih 99% telefon Android. Dengan menggunakan gabungan maklumat seperti penyegitigaan menara sel, GPS Berbantu dan Wi-Fi, teknologi ini memberikan lokasi yang boleh mencapai sehingga 3,000 kali lebih tepat berbanding sistem terdahulu di kebanyakan negara di seluruh dunia1. Apabila panggilan kecemasan dibuat daripada telefon Android di negara yang telah melaksanakan ELS, koordinat kini dihantar secara automatik kepada perkhidmatan kecemasan. Maklumat lokasi ELS disediakan terus daripada telefon kepada pasukan bantuan kecemasan.
Radius Pencarian dengan ELS
12m
6m
Radius Pencarian tanpa ELS
900m
14km
Sebelum ELS, banyak pasukan bantuan dapat mencari panggilan kecemasan hanya berdasarkan lokasi menara telekomunikasi selular yang terdekat – radius yang mungkin seluas 20 kilometer.
Contoh 1
Contoh 2
Maria masih ingat kali pertama beliau mendengar kisah kejayaan ELS. Pada Januari 2017, seorang budak lelaki Lithuania berusia 7 tahun yang bernama Nojuh menyaksikan bapanya mengalami serangan tiba-tiba lalu pengsan di ruang tamu. Dalam keadaan panik, Nojuh mengambil telefon mudah alih ayahnya dan menghubungi perkhidmatan kecemasan. Dia tidak tahu alamat rumahnya dan menara sel yang terdekat akan mengecilkan lokasinya kepada lingkungan 14 kilometer sahaja. Nasib baik ELS telah dilaksanakan di Lithuania tiga bulan sebelum kejadian itu dan operator perkhidmatan kecemasan menerima lokasi Nojuh—dalam lingkungan 6 meter2. Sebuah ambulans telah dihantar dengan cepat dan bapa Nojuh dibawa ke sebuah hospital berdekatan untuk rawatan perubatan.
ELS kini aktif di lebih 20 negara di 5 benua dan membantu untuk menyediakan maklumat lokasi bagi 2 juta panggilan kecemasan setiap hari3. Sambil pelbagai kisah cerita diterima dari seluruh dunia, EENA dan Google terus berusaha untuk mengembangkan dan memperbaik teknologi ini. “Harapan kami”, kata Maria, “adalah untuk melihat tiada lagi sesiapa perlu kehilangan nyawa kerana mereka tidak sempat ditemui.”
Bagi Christian pula, tugasnya akan sentiasa berisiko, tetapi beliau puas hati kerana teknologi baharu ini dapat menyelamatkan dirinya dan orang yang beliau selamatkan serta menjimatkan masa yang berharga. "Motivasi terbesar dalam tugas saya adalah untuk membantu orang ramai, tidak kira apa-apa jua keadaan yang mereka hadapi", kata Christian. "Jika mampu membantu mereka, saya akan melakukannya."
- 1 Laporan Akhir Help112 Kesatuan Eropah, 2017
- 2 Prestasi ELS mungkin berbeza bergantung pada persekitaran, keadaan rangkaian, pilihan rakan kongsi tentang protokol penghantaran dan tahap keyakinan, dsb.
- 3 menurut data dalaman Google.