Wanita Air
Cara enam wanita menyuarakan pendapat dan menggunakan teknologi untuk menerajui perjuangan mendapatkan air bersih
BACAAN SELAMA 10 MINIT
Kerajaan tidak mendengar pendapat orang dewasa, orang dewasa [tidak] mendengar pandangan kerajaan, jadi saya fikir [mereka] akan mendengar pendapat kanak-kanak seperti saya.
Mari Copeny
Kami tahu air di sekolah kami tidak bersih kerana mereka menjalankan ujian plumbum setiap tahun. Kami tahu ini merupakan isu yang kami mahu perangi.
India Skinner
Apakah yang anda lakukan jika orang tidak tahu bahawa terdapat 3,000 lokasi di Amerika Syarikat yang airnya mengandungi lebih banyak plumbum berbanding Flint, Michigan?
Doll Avant
Saya rasa menjadi saintis sama seperti menjadi adiwira. Ini kerana adiwira menyelamatkan orang ramai, dan mahu melakukan yang terbaik untuk masyarakat mereka. Saintis pun begitu juga.
Gitanjali Rao
Apabila virus Zika menular, Gitanjali Rao, kini berumur 13 tahun, meneliti kaedah pengeditan gen baharu yang boleh membantu untuk memerangi penyebaran penyakit tersebut.
Apabila penerbangan MH370 Malaysia Airlines hilang di Lautan Hindi, dia mengkaji cara untuk mereka kotak hitam perakam penerbangan yang lebih baik.
Apabila dia mendengar tentang pelajar di sekolahnya dibuli di media sosial pula, dia menghasilkan aplikasi untuk mengesan dan memantau mesej pembulian siber.
Sekiranya sesuatu masalah itu mendapat perhatian Rao, dia mungkin akan cuba meleraikan masalah itu.
Kebanyakan orang menganggap saya hanya seorang budak berusia 11 tahun yang mempunyai idea pameran sains yang mudah, tetapi jika saya boleh merealisasikan ini, saya dapat membantu ramai penduduk Flint.
Gitanjali Rao
Kehidupan Rao sarat dengan aktiviti – projek dengan STEM Scouts of America, penganjur bersama program sains kanak-kanak di radio awam, menulis skrip drama - tetapi perkara yang benar-benar membezakan gadis muda ini daripada yang lain ialah keinginan semula jadinya untuk membantu orang lain. “Saya memang suka membantu orang lain, tidak kiralah sama ada sekadar mencuci pinggan selepas makan malam atau bermain piano di hospital,” katanya. “Saya mahu kesan yang saya bawakan kepada dunia ini mampu mengubah kehidupan.”
Apabila aktivis di Flint, Michigan, menarik perhatian dunia kepada krisis air di situ, Rao mendapat inspirasi untuk mencipta alat menggunakan teknologi Android yang dapat memberikan manfaat kepada berjuta-juta orang. Dia tidak menyedari bahawa dia akan menjadi sebahagian daripada pergerakan yang lebih besar – pergerakan yang dimulakan oleh seorang gadis yang bertekad mahu menghimpunkan sesiapa sahaja yang boleh membantu.
Temui pencetus yang membangkitkan sebuah negara
Pada perhimpunan di Flint kira-kira setahun yang lalu, penganjur menarik Amariyanna “Mari” Copeny ke pentas bersama Janelle Monáe dan Stevie Wonder. Little Miss Flint menerima sorakan daripada peminat dari kampung halamannya.
Copeny, 11, gemar dikelilingi oleh ramai orang, tetapi perkara yang membuatkan gadis muda itu istimewa adalah rasa bertanggungjawab yang ada dalam dirinya. Selepas dia memenangi pertandingan Little Miss Flint pada 2015, dia menggunakan gelarannya untuk memulakan dialog antara kanak-kanak Flint dengan pihak polis.
Apabila kualiti air di bandar Michigan mula menjadi teruk - mandi lama menyakitkan kulit Copeny, dan adik-adiknya mendapat ruam - dia tahu bahawa sesuatu perlu dilakukan. Air yang mengakis itu sebenarnya berpunca daripada paip besi yang terhakis dan plumbum yang melarut resap dari paip lama di rumah dan bangunan di seluruh bandar, walaupun orang ramai belum mengetahuinya. Tempoh penduduk disuap dengan maklumat yang salah dan diselubungi kekeliruan mencengkam perasaan Flint - dan ketika itulah Little Miss Flint mula bersuara.
Pada awal tahun 2016, seorang rakan baharu datang untuk melawat Little Miss Flint: Presiden Amerika Syarikat. Dia telah menulis surat kepada Presiden Obama untuk meminta lawatan ketika dia berada di Washington DC untuk menghadiri sidang kongres mengenai krisis Flint. Sebaliknya, Obama yang pergi ke Flint untuk bertemu dengannya dan mengalihkan perhatian seluruh negara ke bandar ini.
Saya merupakan salah seorang kanak-kanak yang terjejas oleh air ini, dan saya telah melakukan yang terbaik dengan berbaris dalam protes dan bercakap bagi pihak semua kanak-kanak yang tinggal di Flint.
Mari Copeny
Sepanjang tahun depan, Dewi Cilik Flint akan menghadirkan diri di Teen Vogue dan Time for Kids serta di perhimpunan. Pemenang pertandingan bersuara besar itu selalu bercakap bagi pihak kanak-kanak di Flint – sama ada semasa dia sedang mengumpul dana untuk membeli tiket wayang Black Panther atau mendapatkan sumbangan bekalan sekolah supaya keluarga mampu membeli penapis untuk paip air rumah mereka.
“Saya tidak lagi mengambil bahagian dalam pertandingan,” kata Copeny. "Saya kini bercakap bagi memperjuangkan hak orang lain."
Tatkala mesej Dewi Cilik Flint bergema di seluruh negara, orang ramai mula mencari penyelesaian jangka panjang...termasuk tiga jurutera muda yang terinspirasi oleh teknologi NASA untuk membuat penapis air yang anda sendiri boleh lihat bekerja.
Tiga sekawan S3 Washington D.C bekerjasama dengan NASA untuk mengeluarkan plumbum
Bagi tiga rakan lama, iaitu Mikayla Sharrieff, India Skinner dan Bria Snell, tidak timbul persoalan berhubung tempat mereka akan melakukan khidmat komuniti selama 270 jam untuk menamatkan pengajian sekolah menengah: In3, tempat untuk bakal usahawan D.C. belajar kod dan membangunkan kemahiran insani serta jaringan kenalan.
Apabila mentor In3 mereka, Marissa Jennings, mencadangkan agar mereka menyertai pertandingan NASA - Cabaran Promosi dan Penyelidikan Terbitan Optimus Prime (OPSPARC) - gadis-gadis ini, yang kini merupakan pelajar senior sekolah menengah tinggi, teruja untuk membangunkan “terbitan” bagi teknologi NASA yang sedia ada.
Mereka asyik memikirkan tentang air. Baru-baru ini air pancut untuk minum di sekolah mereka telah ditutup dengan beg sampah plastik selepas kerja pembinaan mencemarkan bekalan air sekolah. Dengan sekolah-sekolah di Flint dan Baltimore mengedarkan air botol, air pancut yang ditutup itu kelihatan seperti sebahagian daripada masalah yang lebih besar.
Selepas mendapat inspirasi daripada teknologi penapisan air program Apollo NASA, tiga gadis itu tertanya-tanya bagaimana angkasawan boleh kekal terhidrat dengan meminum air kencing yang dikitar semula, tetapi air pancut di sekolah tidak bebas daripada toksin.
"Kita tahu bahawa air ini sudah ditapis, jadi mengapa air kita masih tidak betul-betul bersih?"
India Skinner
Pelajar perempuan itu membayangkan satu reka bentuk lut sinar yang menunjukkan penapisan yang berjaya. Dengan begitu banyak keraguan mengenai kualiti air - 3,000 lokasi di Amerika Syarikat mempunyai paras plumbum yang lebih tinggi dalam air minumnya berbanding dengan Flint, tetapi ujian tidak meluas - penting untuk memastikan penapis berfungsi dengan baik. “Masyarakat berhak mendapatkan air bersih,” kata Skinner. “Jadi apa yang kami putuskan adalah untuk membuat penapis yang…anda benar-benar dapat melihat air sedang ditapis.”
Prototaip mereka menggunakan kipas kecil untuk menolak toksin melalui penapis. Untuk menunjukkan bahawa air adalah bersih, jalur ujian pH dalam tiub jernih digunakan untuk menunjukkan tahap pH yang seimbang.
S3 Trio, sepertimana gadis muda itu menggelar diri mereka, memenangi tempat kedua secara keseluruhan dan menerima anugerah mereka di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard NASA. Di sana, mereka bertemu ahli Persatuan Jurutera Kulit Hitam Kebangsaan untuk membangunkan lagi projek mereka itu. Akan tetapi bagi S3 Trio, hasil yang terbaik adalah memberikan inspirasi kepada orang lain.
Orang dalam komuniti kami yang berminat dengan STEM, mereka akan melihat kami. Kami kelihatan seperti pelajar sekolah menengah biasa sahaja.
Mikayla Sharrieff
Dengan Little Miss Flint bersuara untuk mereka yang tidak dapat bersuara, S3 Trio juga terdorong untuk menjadi contoh teladan dengan mengikut serta. Bagi kanak-kanak perempuan di Colorado, "ikut serta" bermakna menggunakan pencetak 3-D, perisian Android dan "buckypaper" untuk memperkasa orang ramai agar mengetahui bendasing yang terdapat dalam air paip mereka di rumah.
Cara seorang gadis membuktikan tiada masalah yang terlalu besar untuk diatasi
Apabila Gitanjali Rao memulakan sumbang saran tentang cara dia boleh membantu Flint, dia berpendapat dia hanya perlu mencari jalan untuk mengeluarkan plumbum daripada air. "Ini adalah seperti menyelesaikan pemanasan global dengan hanya satu penyelesaian", katanya, "yang kelihatan hampir mustahil untuk dicapai."
Ekoran krisis di Flint, keluarga Rao, seperti kebanyakan orang lain di seluruh negara, menguji air mereka sendiri. Rao terkejut dengan proses ujian tersebut yang rumit. Bukan sahaja ujian itu mahal, tetapi juga mengambil masa selama dua minggu. Bagi Rao, salah satu aspek yang paling menakutkan tentang krisis air di Flint ialah tidak mengetahui sama ada air itu selamat untuk diminum. Rao menyedari bahawa dapat menguji air tersebut merupakan sesuatu yang cukup penting.
Rao, yang sering membaca halaman web Sains Bahan Institut Teknologi Massachusetts, sedang memikirkan tentang Flint apabila dia mendapat suatu idea.
Saya terjumpa teknologi baharu yang menggunakan penderia tiub nano karbon untuk mengesan gas berbahaya di udara. Saya segera mengaitkannya dengan idea untuk mengesan plumbum... dalam air minuman.
Gitanjali Rao
Menggunakan versi nanotiub karbon yang dipanggil "kertas bucky," Rao beranggapan dia mempunyai bahan yang cukup sempurna untuk jalur pengujian air - secara teori. Sungguh mengujakan apabila menyedari bahawa dia telah menemui sesuatu yang tidak pernah dicuba oleh orang lain. Tetapi dia perlu membina peranti untuk mengujinya - masih banyak kerja yang perlu dilakukan lagi.
Lawatan ke kemudahan air perbandaran Denver telah membawa Rao bertemu Pengurus Makmal, Selene Hernandez Ruiz. Sejurus bertemunya, Ruiz terkesima dengan pemahaman hidrologi tahap Ph.D yang dimiliki oleh gadis muda itu. Semakin banyak yang didengarnya, Rui semakin menyedari bahawa beliau bukan hanya mendengar idea yang bijak tetapi bertemu seseorang yang sangat istimewa. “Pembawakan diri Gitanjali, dari segi persahabatan dan perbincangan saintifik, tidak ubah seperti orang dewasa,” kata Ruiz. Tidak lama kemudian, beliau berganding bahu bersama Rao untuk membantu gadis muda itu menguji perantinya yang dinamakan Tethys.
Ketika mereka menawarkan ruang makmal kepada saya, saya berlagak sangat tenang dan dapat mengawal perasaan di sana, tetapi apabila pulang ke rumah saya mula menjerit-jerit sekuat hati. Sejujurnya, itu merupakan salah satu hari terbaik dalam hidup saya.
Gitanjali Rao
Semasa Rao dan Ruiz bekerja bersama-sama, mereka membentuk ikatan persahabatan yang tampak seperti bakal menjadikan Tethys suatu kenyataan. Dengan ujian terkini yang memberikan keputusan untuk logam lain, wujud kemungkinan peranti itu boleh memeriksa air paip untuk kandungan merkuri, arsenik dan kadmium. Rao mungkin telah mencipta alat yang boleh melakukan keseluruhan ujian dengan murah dan tepat.
Ruiz percaya bahawa penggunaan teknologi canggih dan perasaan ingin tahu Rao yang membuak-buak boleh menjadi inspirasi buat kita untuk melihat kemungkinan yang boleh dicapai.
Bagi Rao, memperkasakan kesedaran hanyalah langkah pertama dalam bertindak balas terhadap isu di Flint. “Saya berharap penciptaan alat pengesan plumbum ini boleh mula mendorong kita untuk terus melakukan sesuatu berhubung isu ini,” katanya. Langkah seterusnya bagi Rao adalah jelas: mengumpulkan data daripada Tethys dan sumber lain ke dalam satu pangkalan data yang telus.
Dan dia memang beruntung kerana seorang wanita sedang membuat pangkalan data seperti itu.
Cara data bersaiz besar dapat mencegah tragedi Flint daripada berulang
Semasa menyelidik peluang perniagaan dalam kualiti air, Doll Avant menerima berita bahawa bapanya telah didiagnosis dengan diabetes, sesuatu yang sungguh mengejutkan – bapanya menjalani gaya hidup yang sihat dan baru sahaja bersara. Berbekalkan maklumat penyelidikan air – termasuk sebagai felow di Taman Penyelidikan NASA – perunding terkenal itu tidak dapat mengelak daripada tertanya-tanya sekiranya terdapat sesuatu di dalam air yang diminum ayahnya.
Ketika keadaan bapanya semakin merosot, dia terjumpa satu kajian yang tidak terkenal yang mencadangkan terdapat kaitan antara arsenik dan diabetes. Air yang diminum bapanya mungkin menjadi penyebab penyakitnya. “Saya tidak mengambil masa yang lama untuk mendapatkan salinan laporan kualiti air tempatan dan mengaitkan semua hasil penyelidikan untuk membuat kesimpulan,” kata beliau. "Tetapi ayah saya sudah benar-benar sakit ketika itu, dan sudah terlambat untuk melakukan apa-apa untuknya."
Penyelidikan beliau bermula sebagai satu cara untuk mencegah krisis Flint daripada berulang kembali. Tetapi sekarang ia telah menjadi isu peribadi.
Kematian ayahnya mendorong Avant untuk menggali segala maklumat yang dapat dicarinya - laporan EPA, item berita dan kajian saintifik. Maklumat yang ditemui mengejutkannya: Beribu-ribu komuniti Amerika mempunyai paras plumbum yang lebih tinggi berbanding Flint. Bilangan pelanggaran EPA yang tidak didedahkan. Beribu-ribu karsinogen diketahui yang tidak dikawal oleh EPA.
Avant menyedari bahawa berjuta-juta orang memang tidak tahu bahawa mereka berada dalam bahaya akibat terdedah kepada toksin dalam air untuk tempoh yang lama. “Mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya, “hanya kerana mereka tidak mempunyai data.” Oleh itu, dia memulakan sebuah syarikat yang dinamakan Aquagenuity untuk mewujudkan pangkalan data air terbesar di dunia.
Kita harus memperlakukannya dengan cara yang sama kita mengendalikan wang. Wang merupakan aset berharga yang terhad, jadi anda mempunyai alat canggih ini untuk mengurusnya. Kita memerlukan alat canggih yang sama untuk mengurus air.
Doll Avant
Selain mengeluarkan data yang sebelum itu terperangkap dalam laporan yang tidak jelas, Aquagenuity berhasrat untuk memberi pengguna arahan yang berguna sekiranya mereka menemui air yang terjejas.
“Masukkan semua alamat lama anda berdasarkan tempat tinggal anda dan tempoh anda tinggal di sana,” kata Avant. “Sistem ini akan memberitahu anda, hei, berikut ialah perkara yang boleh anda lakukan untuk menyingkirkan toksik - logam tertentu dan pelbagai bahan lain yang terkumpul di dalam badan anda.”
Kunci kejayaan projek ini adalah menggunakan Google Cloud untuk melindungi maklumat, serta menerapkan pembelajaran mesin untuk memberikan maklumat kesihatan dan kesejahteraan yang tersuai.
"Masukkan semua alamat lama anda berdasarkan tempat tinggal anda dan berapa lama anda tinggal di sana. Sistem ini akan memberitahu anda, hei, berikut ialah perkara yang boleh anda lakukan untuk menyingkirkan toksik - logam tertentu dan pelbagai bahan lain yang terkumpul di dalam badan anda."
Doll Avant
Aquagenuity juga merancang untuk menyediakan langkah buat perniagaan dan kerajaan. Kilang pembotolan baharu dapat mengetahui jenis penapis yang perlu digunakan dengan sekali imbas sahaja, atau kerajaan tempatan dapat mengetahui jenis penurasan bahagian belakang yang terbaik untuk proses pembuatan tertentu. “Kami mengajar mesin cara membuat cadangan seperti itu dalam sekelip mata,” kata Avant. “Rangka kerja pembelajaran mesin yang dibina dalam Google Cloud akan membantu kami mempercepat proses itu dengan ketara.”
Abad ke-20 merupakan waktu yang sangat sukar di planet ini. Oleh itu, mari kita ubah cara kita menggunakan air sebagai sumber, dan mari lakukan cara yang lebih baik untuk abad ke-21.
Doll Avant