Antara Berbilang Dunia
Robin Máxkii yang mencari cara untuk menyatukan zaman kanak-kanak yang dihabiskan di tanah rizab dengan zaman remajanya di Houston, menemui kehidupan yang dipenuhi aktivisme, teknologi dan sains.
Pada pendapat saya teknologi adalah sebahagian besar perkara dalam masyarakat bandar dan luar bandar yang kurang diberi perhatian, kerana anda perlu memikirkan cara untuk menjadikan sesuatu berfungsi—yang merupakan perkara asas bagi penggodaman.
Robin Máxkii
Cawangan pusat Perpustakaan Awam Houston merupakan satu khazanah berharga, kerana di celah-celah dewan yang menghubungkan bangunan ala istana lama itu ke pusat kanak-kanak, terdapat sebuah bilik dipenuhi komputer. Robin Máxkii telah berpindah sepenuh masa ke Houston pada usia 11 tahun selepas tinggal di tanah rizab Stockbridge-Munsee di Wisconsin tengah, dan dia sangat teruja apabila perpustakaan bandar itu dapat membantunya berada dalam talian. Tetapi walaupun pusat itu tidak dipenuhi orang, wujud halangan yang tidak seharusnya ada: setiap komputer mengenakan had waktu setengah jam untuk melayari Internet.
“Saya hanya memutuskan untuk mengklik di mana-mana sahaja untuk membiasakan diri kerana saya mahu menggunakan komputer,” dia mengingat kembali peristiwa lalu. “Mesti ada caranya; ini tidak masuk akal.” Akhirnya dia mengklik tetapan komputer dan mematikan had masa dan itu memberikannya kebebasan untuk mencari apa-apa sahaja yang menarik minatnya.
Ia bukan penggodaman yang boleh meneka kata laluan bagi sesuatu, tetapi saya menyedari bahawa saya boleh memerintah komputer melakukan sesuatu. Terdapat banyak halangan, namun apabila anda berjaya mengatasinya terdapat kemungkinan yang tidak berkesudahan.
Robin Máxkii
Selepas beberapa tahun bekerja sebagai pembantu produksi dalam industri perfileman pada umur lewat belasan dan awal dua puluhan tahun, Máxkii terpaksa tinggal di sebuah asrama di Albuquerque. Biliknya dihuni oleh lapan orang. Dia tidur bersama beg galas yang menyimpan semua barang yang dimilikinya. Dia menyaksikan pelajar di Universiti New Mexico berjalan di sekitar kejiranan itu pada permulaan tahun pengajian baharu.
Di blognya Native Notes, tempat beliau menulis tentang isu peribumi selama bertahun-tahun, Máxkii menerima satu komen tanpa nama. Komen itu mengatakan bahawa jika dia mahu mengubah komunitinya seperti yang ditulisnya, dia perlu menyambung pelajaran ke kolej. “Itulah benih yang ditanam,” kata Máxkii. "Itu ialah pemangkin. Di sini saya merungut tentang itu ini, dan ada penyelesaiannya."
Saya masih ingat menggunakan Google untuk mencari maklumat asas,” katanya, dan walaupun berdepan dengan beberapa istilah yang tidak difahami, dia berjaya mengetahui cara mengisi FAFSA, Permohonan Percuma untuk Bantuan Pelajar Persekutuan, serta cara menulis resume dan karangan untuk kemasukan kolej.
Robin Máxkii
Máxkii pernah mendengar tentang kolej dan universiti kepuakan, yang dikawal dan dikendalikan oleh puak India Amerika, melalui keluarga dan komunitinya. Daripada 35 buah kolej kepuakan di seluruh Amerika Syarikat, Máxkii memutuskan untuk melanjutkan pengajian di Kolej Diné di Tsaile, Arizona, di Navajo Nation. Kolej yang ditubuhkan pada tahun 1968 sebagai kolej kepuakan pertama ini amat komited terhadap isu peribumi dan dia memilihnya kerana “ini bermakna masyarakat kami yang mengajar kami, dan masyarakat kami yang menetapkan langkah untuk berjaya.”
Potensi yang saya lihat semasa pertemuan pertama saya dengan Robin ialah kecerdasannya... dan peranan saya adalah untuk mendorongnya secara perlahan-perlahan, dan dia melakukan perkara yang sama untuk rakan sebayanya.
Dr. Miranda Haskie
Miranda Haskie mengajar sosiologi di Kolej Diné dan merupakan doktor falsafah peribumi pertama yang pernah ditemui Máxkii. Beliau masih ingat Máxkii duduk di barisan hadapan pada hari pertama kuliah dan memerhatikan gadis itu menjadi semakin aktif sepanjang tempoh pengajiannya di kampus. Máxkii mengajar pelajar lain membaiki komputer mereka, mengadakan pameran teknologi mini, malah mencuba untuk mencatat Rekod Dunia Guinness dengan membuat roti goreng yang terbesar.
Pelajar berasa selamat berada di samping [Máxkii] untuk mencapai dan menyambar potensi mereka. Dia menjadi contoh hasil daripada peluang tersebut. Dan melalui contoh itu, mereka melihat kemungkinan untuk diri mereka.
Dr. Miranda Haskie
Semasa latihan industri musim panas di Rangkaian Pendidikan Berkualiti untuk Golongan Minoriti (Quality Education for Minorities (QEM) Network) berhampiran Dupont Circle di Washington, DC, Máxkii perlu mengumpulkan data daripada tapak web kolej kepuakan untuk suatu projek. Biasanya orang akan melawat setiap halaman secara manual, tetapi Máxkii mencipta atur cara untuk mengagregatkan maklumat yang diperlukannya. Kerja itu telah menarik perhatian presiden QEM, Dr Shirley McBay.
Semua orang besar-besar ini bekerja di Hill. Apa yang menghalang saya daripada menjalani latihan industri di sana?
Robin Máxkii
“Saya ingat saya sudah merosakkan projek ini,” kata Máxkii, “saya ingat saya telah melakukan kesilapan dan akan dipecat.” Akan tetapi itu bukan sebab Dr. McBay memberikan perhatian pada kerja yang dilakukannya.
"Dia berkata, 'Mengapakah anda tidak mempelajari bidang teknologi?' Detik itu ialah detik yang aneh yang membuat saya faham bahawa penggunaan Ruby atau Python oleh [pelatih] adalah agak luar biasa", merujuk bahasa pengekodan yang popular. Dr. McBay menggalakkan Máxkii untuk terus mengikuti pengajian dalam bidang sains komputer. "Apabila saya memikirkan tentang pengekod, saya tidak membayangkan orang seperti saya. Itulah masalahnya", kata Máxkii. "Ini sebenarnya tentang tanggapan terhadap kebolehan kita."
Kurangnya keterlihatan dan pengiktirafan itu telah mendorong Máxkii meneruskan latihan industri di D.C. dan mencari sokongan untuk pendidikan STEM. Pendekatan yang diambilnya sama sepertimana dia mendapatkan akses kepada komputer semasa di Houston dahulu.
Selepas berucap pada acara panel di NASA, Máxkii ternampak CEO Persatuan Sains dan Kejuruteraan India Amerika (AISES) dan berasa teruja. “Bagi saya, beliau tidak ubah seperti selebriti, jadi sudah tentu saya tahu bahawa saya perlu mendekati beliau.”
Itu merupakan peluang untuk membuka jalan bagi salah satu idea besar Máxkii: hackathon khusus untuk pelajar peribumi daripada semua peringkat yang berminat dengan STEM. “Saya telah menghabiskan banyak masa menghantar cadangan ini kepada pelbagai organisasi dan reaksi yang saya terima ialah andaian bahawa masyarakat peribumi tidak begitu berminat dengan program seperti ini,” katanya.
Tanpa rasa takut, Máxkii membentangkan ideanya, bahkan mengeluarkan telefonnya untuk memainkan klip video dia menemu bual beberapa orang eksekutif teknologi pada siri PBS. “Selama dua tahun, saya telah diberikan jawapan tidak, dan akhirnya pintu peluang terbuka sedikit untuk saya, jadi saya teruskan sahaja.” Máxkii mendapat lampu hijau untuk menganjurkan acara hackathon untuk Persidangan Kebangsaan AISES.
“Selama dua tahun, saya telah diberikan jawapan tidak, dan akhirnya pintu peluang terbuka sedikit untuk saya, jadi saya teruskan sahaja.”
Robin Máxkii
hackAISES yang diselaraskan oleh Máxkii pada tahun 2016 merupakan hackathon pelajar India Amerika yang pertama. Acara itu menarik peserta daripada pelajar sekolah menengah hinggalah kepada doktor falsafah sains komputer. Ia begitu berjaya sehingga dijadikan acara tahunan: Persidangan AISES tahun ini di Oklahoma City akan menyertakan hackathon tahunan ketiga dalam agendanya untuk tarikh 3 Oktober.
Kami mempunyai matlamat. Kami mempunyai impian. Dan kami tidak akan membiarkan sesiapa pun menghalang atau menjatuhkan kami.
Keenan Lee Barlow
Keenan Lee Barlow dan Máxkii bertemu semasa di kolej dan segera menjadi sahabat karib. Ini adalah kerana, seperti Máxkii, yang zaman kanak-kanaknya terbahagi kepada beberapa komuniti, Barlow dibesarkan di Salt Lake City sebelum berpindah ke tanah rizab. “Saya rasa seperti sudah mengenali [dia] sejak azali,” katanya. “Ini persahabatan yang sangat erat. Dia mengingatkan saya kepada adik-beradik.”
Máxkii membawanya melawat kampus dan membantunya mencari kelas - tetapi yang paling penting, dia membantunya memikirkan cara untuk memohon biasiswa daripada, antara lain, Dana Kolej India Amerika dan Navajo Nation. Jenis perkongsian sumber sebegitulah yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan Máxkii.
Máxkii telah mengalihkan perhatiannya kepada permohonan ke sekolah siswazah, tetapi dia masih sangat berminat untuk berusaha mengukuhkan komunitinya di ruang yang berjaya dicecahnya. “Sekarang ini, suara peribumi tiada dalam komuniti sains umum,” katanya.
Dia mahu menyasarkan masyarakat yang kurang mendapat perhatian, memperuntukkan lebih banyak sumber dan memperkasakan penduduk di sana agar mengetahui bahawa “mereka adalah sebahagian daripada gambaran yang lebih besar.” Dia mahu menggalakkan perangkuman, membawa orang masuk dan membuatkan mereka “sedar bahawa mereka bukan sahaja pandai tetapi benar-benar mampu” menyumbang kepada bidang saintifik.
Sebagai seorang wanita peribumi, saya berasa seperti saya berjalan di atas tali tegang, tetapi ia adalah tentang rasa diperkasa dan mengetahui anda boleh melakukan kedua-duanya. Anda boleh menjadi penyelidik atau pengaturcara komputer dan membawa budaya anda bersama.
Robin Máxkii